Siakap Keli
Gambar Hiasan(Foto: Chabad/FB Ws Adli W Muhammad)

“Tak Logiklah, Tandas Pun Ada Tabung Derma”, Kisah Lelaki Ini Sedarkan Netizen Tentang Amalan Bersedekah

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Dalam dunia yang penuh cabaran hari ini, tidak semua orang bernasib baik untuk memiliki kemewahan ataupun kekayaan baik dari segi harta mahupun wang ringgit.

Bagaimanapun, harta yang banyak bukanlah penilaian sebenar tentang kekayaan seseorang akan tetapi ke mana mereka membelanjakan harta tersebut adalah lebih penting.

Oleh itu, bagi golongan yang dikurniakan rezeki dari segi harta yang lebih banyak, adalah amat digalakkan untuk bersedekah bagi meringankan mereka yang sedang dihimpit kesusahan.

Amalan inilah yang telah dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook, Ws Adli W Muhammad dalam satu kirimannya baru-baru ini.

Kiriman tersebut menceritakan pengalamannya bertemu dan berbual dengan seorang hamba Allah yang kuat bersedekah.

Kerap saya melihat seorang lelaki yang saya rasa umurnya sekitar dalam 50-an memberikan duit kepada akak pembantu pam minyak di sebuah stesen minyak.

Bukanlah kata tiap-tiap minggu ternampak dia, tapi selalulah terserempak apabila sama-sama mengisi minyak, dan itulah selalu yang dia akan buat.

Begitu juga di kedai runcit. Apabila selesai membuat bayaran, ada duit lebih sikit, dia akan masukkan duit ke dalam tabung derma yang terdapat atas meja kaunter.

Tak pernah pula saya bertegur sapa dengan dia. Sekadar pernah bagi ucapan salam dan sama-sama membalas senyuman.

Nak jadi cerita semasa di masjid bandar, selesai solat saya tunggulah isteri di luar, di bawah kanopi. Sedang duduk menunggu tu, saya tengoklah Facebook.

Tengah ralit tu, ada seseorang menyapa saya dengan memberikan ucapan salam. Saya pandang dan saya lihat inilah lelaki yang selalu saya nampak tu.

Saya jawab salam dan dia duduk di kerusi sebelah saya.

Saya pun bertanya “Dari mana bang?”

Dia jawab ringkas “Dari seberang tu aje. Selalu perasan muka awak ni. Orang sebelah seberang juga ke?” Saya pun mengiyakan sambil senyum.

Kami berboraklah. Tengah berborak tu, nak juga tanya, abang ni rajin betul sedekah. Kaya sangat ke? Tapi tak kesampaian. Huhu.

Entah dari mana, datanglah seorang budak. Remaja. Dalam umur belasan tahun begitu.

Dia pun berkata “Bah, tak ada pun tabung derma. Belah mana?”

Oh, rupanya anak abang ni.

Dia pun menjawab “ Tak logiklah tak ada. Tandas pun ada tabung derma. Pergi cari betul-betul. Buka mata tu luas-luas” kemudian dia ketawa kecil. Saya pun ikutlah juga hehe.

Gambar Hiasan(Foto: YADIM)

Selepas tu dia berkata “Kena didik diri kita ni rajin bersedekah. Tak banyak tak apa. Tetapi tiap-tiap hari tu memang kena bersedekah. Awak tahu tempat mana mudah nak bagi duit ke orang?

Tu stesen minyak. Kasihan kat kakak-kakak, adik abang yang berdiri lama di luar. Atendan tu. Berapa sangat gaji dia orang. Kita bagilah sikit buat belanja dia beli air ke apa ke. Bukan susah pun kan hulur seringgit dua?

Lepas tu tengok di kedai runcit. Ada tabung-tabung derma. Tabung maahad lah, anak yatimlah. Ha, hulur lah ke mana-mana tabungnya. Letak sahajalah berapa yang kita mampu. Kalau setakat sen, letaklah sen-sen. Semua tu Allah kira belaka.

Saya memang dari dahulu dah diajar begitu oleh mak dan ayah saya. Sekarang saya turunkan kepada anak-anak.

Pergi kedai pomen pun begitu. Saya tak bagilah pada tauke dia haha. Saya bagi pada pekerja-pekerja dia yang buat kereta saya tu. Bagilah sikit-sikit. Niat dalam hati, sedekah. Bukan nak tunjuk kita kaya ke apa. Dapatkan dia beli air bungkus ikat tepi pun jadilah. Lepaslah belanja air dia hari tu.

Mula-mula masa ayah saya suruh bagi dulu, saya tanya juga “Apa ke faedahnya ayah bagi orang duit ni? Dia dah kaya. Ada gaji”.

Gambar Hiasan(Foto: Times Kuwait)

Ayah saya jawab “Orang yang paling kaya adalah orang yang paling kuat sedekah. dia dapat gaji bukan besar mana pun. Berdiri lama-lama, penat. Banyak sekolah-sekolah, tempat anak yatim yang perlukan duit. Kita bantu.

Kita tak kaya. Tapi perbuatan kita ini Allah dan Nabi suka. Ini perbuatan kalau kita mati, kita mati dalam bahagia. Allah dan malaikat muliakan kita”.

Saya buat. Alhamdulillah. Tak pernah lagi rasa putus duit. Tak pernah lagilah rasa tak cukup dengan apa yang ada.

Hati pun jadi senang. Ada benda barang kita tak mampu beli, tak ada rasa ralat sangat. Allah permudahkan segala rasa hati kita. Rasa lapang. Sampai satu hari kita mampu beli barang tu, syukurlah. Tak dapat juga, no hal lah orang kata hehe.

Cubalah. Sikit-sikit je. Tapi tiap-tiap hari. Kena istiqamah. Nak bagi banyak tak mampu, ikut kemampuan kita. Sen-sen ke, seringgit dua ke, boleh belaka. Ada lebih, itu memang rezeki orang tu dah”.

Selesai borak-borak sikit lagi, abang tu pun minta izin dan pergi.

Hebat. Terima kasih bang atas nasihat yang amat berguna.

Terjawab sudahlah apa yang saya lihat sebelum ini. Itu amalan mulia dia. Amalan yang dijanji Allah dan Nabi sollallahualaihiwasallam dengan dibalas sebaik-baik ganjaran.

Boleh juga kita ikut kan? Selama ni duk tengok orang berdiri lama-lama kat stesen tu, sekadar cakap kasihan je. Huhu.

Tabung yang di atas kaunter dalam kedai tu, bila tengok hati pula jadi percaya ke tak percaya. Akhirnya tak isi pun. Banyak betul ikut cakap syaitan.

Tu hati tak senang dan tak tenang selalu huhu.

Benda mudah. Syurga itu indah. Inilah antara amalan-amalan yang dapat membahagiakan kita di alam sana, yang nama kita akan jadi sebut-sebutan penduduk di langit, insya-Allah.

Dari Abu Hurairah radiallahuanhu katanya, Rasulullah sollallahualihiwasallam bersabda,

“Apabila seorang manusia telah meninggal dunia, maka terputuslah (terhenti) segala amalnya, kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang diambil orang manfaatnya dan anak yang soleh yang selalu mendoakannya.” Hadis riwayat Muslim.

Sumber: FB Ws Adli W Muhammad

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi