Siakap Keli
Gambar: Ahmad Safiuddin

“Dulu Saya Pernah Tercicir Duit Niaga RM5000,” Ayah Kongsi Kisah Permulaan ‘Keajaiban’ Ainul Mardhiah

Kepulangan ‘Buah Hati Malaysia’, Ainul Mardhiah minggu ini semestinya dinantikan oleh seluruh rakyat negara ini. Namun terujaan tersebut terhenti tatkala ibu Ainul sendiri memuatnaik satu kiriman di laman instagramnya menyatakan bahawa mereka terpaksa menangguhkan niat berkenaan.

Sepatutnya mereka sekeluarga dibenarkan kembali ke sini (Malaysia) pada 8 Julai lalu dan dijangka tiba pada selasa (9 Julai 2019). Namun disebabkan keadaan kesihatan Ainul yang tidak mengizinkan, ‘misi’ untuk pulang ke tanah air tercinta ini tidak dapat direalisasikan.

Gambar: Nurul Erwani

Sebentar tadi, Ahmad Safiuddin telah memuatnaik hantaran di laman Facebooknya tentang bagaimana segalanya bermula.

Dahulu, saya pernah tercicir duit berniaga sebanyak RM5000. Waktu itu, Allah sahaja lah yang tahu betapa runsingnya hati.

Ketika itu, duit itu sangat bermakna. Duit berniaga itu adalah duit modal. Kalau duit untung, saya tidak risau.

Dalam keadaan yang sangat memerlukan wang dan keadaan ainul yang semakin membimbangkan, saya masih tidak mahu memviralkan kesusahan saya. Apatah lagi buka tabung derma khas buat ainul. Saya cakap dengan diri, aku masih ada kaki ada tenaga, duit boleh cari dan jangan susahkan sesiapa.

Ada juga sahabat-sahabat di facebook yang mahu hulurkan bantuan, tapi saya tidak terima. Saya beritahu mereka supaya doakan sahaja. Pada waktu tersebut, saya hanya menganggap duit itu bukan rezeki saya. Mungkin itu adalah rezeki orang yang jumpa. Mungkin orang yang jumpa duit itu setiap malam bangun tahajud dan minta kemudahan dari Tuhan.

Saya lapang dada dan saya niat sedekahkan duit itu untuk ainul mardhiah. Saya yakin, Allah akan gantikan duit yang hilang itu dengan sesuatu yang tidak pernah sangka. Alhamdulillah, 8 bulan bersama isteri dan keluarga menjaga ainul. Susah senang bersama, letih dan penat itu tidak perlu cerita, hospital adalah rumah kedua kami.

Jika nak diikutkan, saya boleh sahaja viralkan ainul pada waktu itu untuk dapatkan sumbangan orang ramai. Tapi saya tidak buat dan tak mahu buat. Saya cuma minta Allah swt permudahkan urusan saya dan isteri dalam mencari rawatan terbaik buat ainul dan cukupkan rezeki kami sekeluarga. Itu sahaja. Tidak pernah doa dengan Tuhan supaya kami dipandang oleh masyarakat, viral, apatah lagi doa untuk bawa ainul ke london.

Gambar: Nurul Erwani

Ianya berlaku sekelip mata. Kisah ainul viral bukan berpunca dari saya atau isteri. Tapi berpunca dari keluarga saya yang prihatin dan mahu membantu kami.

Ya, sekelip mata Allah tunjukkan kebesarannya.

Allah bukakan jalan. Allah gerakkan hati manusia yang kami tidak pernah kenal. Allah gerakkan hati manusia untuk membantu kami.
Segalanya menjadi mudah. Ya, sangat-sangat mudah sehingga lah diberi peluang untuk bawa ainul ke london untuk mendapatkan rawatan.

Alhamdulillah, walaupun perjalanan ainul masih jauh, untuk waktu dan ketika ini, ainul telah berjaya dipisahkan dengan ketumbuhan yang telah menganggu tubuh badannya sejak usia tiga bulan. Dan harapan kami suami isteri kepada Tuhan adalah agar ketumbuhan itu tidak menganggu hidup anak kami lagi sampai bila-bila. InshaAllah. Dengan izinNya.

Jadi, point di dalam post ini adalah, saya dan isteri tidak pernah meminta untuk dipandang sebaliknya Allah swt lah yang menggerakkan hati kalian semua yang baik hati untuk memandang kami dengan penuh kasih sayang. Tiada daya kami untuk membalas semuanya melainkan hanya lah doa yang baik baik ke atas kalian dan keluarga.

Akhir sekali, saya dan isteri mahu mohon maaf jika keputusan kami membawa ainul ke london telah mengguris hati kalian. Sebagai ibu bapa kepada ainul, kami hanya mahu buat yang terbaik buat puteri sulung kami ini.

Gambar: Ahmad Safiuddin

Allah boleh pilih sesiapa sahaja untuk DIA uji, Allah boleh memberikan kesusahan dan DIA juga boleh memberi kemudahan pada bila bila masa yang DIA mahukan.

Tidak tercepat atau terlambat, ianya akan datang tepat pada waktunya. Jika tidak kami, mungkin kalian adalah orang yang Allah pilih untuk diuji.

Walaubagaimana pun, di dalam post ini tidak lah bermaksud kami adalah orang yang paling hebat di uji. Tidak. Tiada istilah siapa lebih hebat di uji, yang ada hanya lah Allah akan uji mengikut kadar kemampuan hamba-hambaNya. Semoga kalian semua sentiasa dalam rahmatNya. Amin!

Sumber: Ahmad Safiuddin

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.