Siakap Keli
Gambar hiasan. (Kredit: Cook It Easy)

Tular Dakwaan Sup Ketam Boleh Rawat Demam Denggi, Betul Ke? Ini Penjelasannya

Kita seringkali mendengar pelbagai tips kesihatan yang dikongsikan secara turun temurun bagi mengatasi sesuatu penyakit menggunakan cara tradisional. Antara tips-tips ini, ada yang rasional, ada yang tidak berasas dan ada yang sudah tidak relevan dengan zaman sekarang.

Oleh itu, kita perlulah sentiasa mengambil tahu sumber tips yang diberi agar kita tidak melakukan ikutan tidak berasas yang kadangkala boleh memberi kesan sampingan kepada kesihatan kita.

Bagi mengetahui sejauh mana kebenaran sup ketam sebagai penawar denggi, mari kita baca artikel di bawah ini yang dikongsikan oleh Hello Doktor.

Sup Ketam Mampu Merawat Denggi?

Jawapan mudah dan singkat untuk peranan sup ketam sebagai rawatan untuk demam denggi ini adalah ‘ianya tidak benar’. Ini kerana sup ketam tidak memainkan peranan dalam apa-apa tindak balas fisiologi berkaitan dengan demam denggi.

Sekurang-kurangnya, mitos alternatif lain untuk rawatan denggi seperti pengambilan jus daun betik mempunyai kajian untuk menunjukkan ianya mampu untuk mengekalkan atau menaikkan paras platelet dalam darah.

Sup ketam tidak langsung mempunyai sandaran saintifik untuk mengatakan bahawa ianya membantu dalam menyembuhkan seseorang yang menghidap demam denggi.

Gambar hiasan. (Kredit: Unilever Food Solution)

Kajian berkaitan peranan jus daun betik itu juga mempunyai beberapa kekurangannya. Sebagai contoh, kajian tersebut hanya membabitkan pesakit yang mengalami demam denggi tahap sederhana dan ke bawah.

Sekiranya seseorang itu mengalami demam denggi teruk, terdapat kemungkinan bahawa keputusan akhirnya mungkin tidak sama dan pesakit berupaya untuk mati.

Tambahan lagi, peningkatan paras platelet tidak mencerminkan kadar kesembuhan. Ini kerana paras platelet bukanlah satu-satunya parameter yang diperhatikan untuk memberi gambaran penuh tahap demam denggi tersebut dan juga ianya bukanlah punca mengapa pesakit demam denggi menemui ajal mereka.

Sebaliknya, kematian pesakit denggi sebenarnya berpunca daripada kebocoran plasma. Komplikasi yang cukup digeruni, yakni demam denggi berdarah, berlaku bukan kerana paras platelet dalam darah yang rendah. Ianya disebabkan oleh sindrom kejutan denggi (shock) yang bermaksud tekanan darah rendah.

Ketaksuban dan penyebaran mitos peranan rawatan alternatif seperti pengambilan sup ketam dan juga jus daun betik ini merupakan sesuatu yang berbahaya untuk beberapa sebab.

Pertamanya, publisiti yang diberikan terhadap jus daun betik sebagai kaedah alternatif untuk meningkatkan platelet darah hanya menutupi punca sebenar kematian akibat demam denggi. Ini boleh menyebabkan kekeliruan untuk masyarakat am tentang punca sebenar kematian dalam penyakit demam denggi.

Selain itu, kepercayaan yang kuat terhadap peranan rawatan alternatif seperti ini akan melengah-lengahkan pesakit untuk mendapatkan rawatan di hospital yang sepatutnya dilakukan dengan segera. Dalam kes demam denggi, masa adalah penting. Sekiranya pesakit mendapatkan rawatan awal di hospital dan diberikan cecair intravena, risiko kematian boleh dielakkan.

Gambar hiasan. (Kredit: Wild Turmeric)

Namun yang demikian, pengambilan bahan-bahan seperti sup ketam dan juga jus daun betik ini bukanlah sesuatu yang dilarang. Sebaliknya, peringatan dan perkara mustahak yang ingin disampaikan oleh pakar perubatan dan juga pihak Kementerian Kesihatan Malaysia adalah bahan-bahan tersebut tidak boleh menggantikan rawatan hospital.

Ianya boleh dijadikan sebagai pelengkap untuk rawatan yang diberikan oleh pihak hospital. Khususnya untuk sup ketam, ianya harus dilihat sebagai sokongan nutrisi kepada seorang pesakit dan bukannya sebagai rawatan.

Menurut Prof Dr Winnie Chee, Presiden Persatuan Dietetik Malaysia, diet yang tinggi dengan kalori dan protein adalah disarankan untuk pesakit demam denggi apabila mereka telah tiba ke fasa kebah demam. Keperluan kalori dan protein dalam diet mereka boleh ditingkatkan sehingga 50% daripada keperluan harian biasa.

Di sini, terdapat kelebihan sup ketam yang dapat dikenal pasti iaitu ianya makanan yang mudah untuk dimakan, mudah diserap oleh badan dan juga merupakan sumber protein. Sungguhpun begitu, ianya bukanlah satu-satunya sumber protein yang ada dan sup ayam atau ikan juga boleh memainkan peranan yang sama dalam membekalkan keperluan protein dan kalori pesakit jika diberikan dengan kerap.

Sehingga kini, tiada rawatan yang khusus untuk melawan virus denggi. Sebaliknya rawatan yang ada seperti saluran intravena dan juga span tepid bertujuan untuk mengawal simptom akibat demam denggi dan mencegah daripada berlakunya komplikasi yang tidak diingini.

Seperti yang dibincangkan di atas, peranan bahan seperti daun pucuk betik dan juga sup ketam tidak menggantikan rawatan sedia ada, tetapi boleh digunakan sebagai pelengkap dalam mengawal simptom dan juga untuk memenuhi keperluan nutrisi.

Disebabkan oleh hal ini, vaksin untuk demam denggi dilihat sebagai sesuatu yang perlu bagi mengelakkan kematian akibat jangkitan.

Sumber: Hello Doktor

Amira

Makin kita belajar, makin kita tahu sebenarnya banyak yang kita tak tahu.