Siakap Keli
Thomas Orhionsefe Ewansiha (kanan) meninggal dunia ketika dalam tahanan Imigresen, membuatkan sekumpulan warga Nigeria membuat rusuhan di hadapan kedutaan mereka semalam.

(Video) Pelajar Nigeria Dalam Tahanan Imigresen Diserang Sawan Sebelum Meninggal Dunia

PUTRAJAYA, 12 Julai (Bernama) — Pelajar warga Nigeria, Thomas Orhions Ewansiha, yang meninggal dunia ketika dalam tahanan di Depot Imigresen Bukit Jalil (DIBJ) pada Selasa lepas telah mengalami sawan ketika sedang tidur.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Khairul Dzaimee Daud dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihak Imigresen masih menunggu laporan penuh bedah siasat subjek untuk mengetahui punca kematiannya dan laporan penuh kesihatan beliau.

Ewansiha adalah antara 20 warga asing yang ditahan dalam satu Ops Bersepadu pada 4 Julai lepas di kawasan Desa Aman Puri, Kuala Lumpur berikutan aduan awam berkaitan kebanjiran warga Afrika di kawasan itu.

Menurut Khairul Dzaimee, Ewansiha telah bertindak melarikan diri ketika operasi dijalankan namun berjaya ditahan, dan subjek kemudiannya telah mengemukakan pasport di mana hasil semakan mendapati subjek memiliki pas pelajar yang masih berlaku.

“Tindakan subjek melarikan diri telah menimbulkan keraguan akan ketulenan pas pelajar yang dimiliki oleh subjek,” katanya.

Subjek disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(l) dan ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) selama 14 hari untuk siasatan lanjut, katanya.

Menurut Khairul Dzaimee, semasa proses dokumentasi dijalankan di pejabat Imigresen Kuala Lumpur, subjek telah diberi rawatan asas oleh pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia kerana terdapat luka lama di bahagian betis kanannya.

Subjek juga tidak memaklumkan menghadapi sebarang jenis penyakit, katanya.

Beliau berkata subjek dan semua Orang Kena Tahan (OKT) dalam operasi itu telah dihantar ke depot Bukit Jalil pada kira-kira 12 tengah hari 5 Julai dan mereka dilayan dengan berhemah dan mengikut Standard Operating Prosedur (SOP) sepanjang ditahan.

Menurut Khairul Dzaimee, kira-kira 12.05 tengah malam 9 Julai, pegawai bertugas telah dimaklumkan oleh tahanan lain bahawa subjek tiba-tiba mengalami sawan ketika tidur.

“Tindakan pemeriksaan dan rawatan serta merta telah diambil oleh Unit Rawatan Khas yang bertugas dan telah menghubungi pihak Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bantuan segera,” katanya.

Menurutnya, Penolong Pegawai Perubatan yang tiba dengan ambulans HUKM pada 12.30 tengah malam terus melakukan pemeriksaan serta bantuan namun subjek telah disahkan meninggal dunia.

Susulan itu, pegawai penyelia dan pegawai bertugas membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Jalil.

Sementara itu, Limkokwing University of Creative Technology dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia diberitahu mengenai kematian Ewansiha, yang melanjutkan pelajaran dalam PhD Pengurusan di universiti itu, semalam.

Menurut universiti itu, Ewansiha, 33, meninggalkan seorang isteri dan dua anak masih kecil.

Menurut kenyataan itu lagi, satu permintaan dibuat oleh seorang wakil dari Kedutaan Nigeria pada pukul 11.33 pagi semalam, untuk berkongsi rekod pelajar bagi mengesahkan bahawa dia (Ewansiha) yang kehilangan isterinya ketika ditahan, bagi mengesahkan status visa.

“Kami memberi maklumbalas segera dengan memberi semua fail yang ada kepada pihak kedutaan,” menurut universiti itu.

Sumber: BERNAMA

Amira

Makin kita belajar, makin kita tahu sebenarnya banyak yang kita tak tahu.