Siakap Keli
Gambar: Info Kemalangan Bencana Malaysia

Didakwa Bunuh 2 Warga Emas Dalam Masa 10 Minit, Seorang Lelaki Ditahan Polis

Saban hari, pasti ada sahaja berita tentang kes pembunuhan yang terjadi di negara ini dilaporkan tidak kira sama ada di media cetak mahupun eletronik. Namun, semalam suasana pilu menyelubungi sekitar pekan Buloh Kasap, Segamat apabila dua lelaki warga emas maut selepas diserang oleh seorang lelaki. Beliau didakwa bersenjatakan sebilah parang dalam dua kejadian berasingan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat cedera parah dalam kejadian yang berlaku di sebuah kedai makan dan gerai menjual durian kira-kira jam 6 petang tadi.

“Dalam kejadian pertama, suspek berumur 33 tahun yang menaiki motosikal berhenti di hadapan sebuah kedai makan sebelum turun dan menetak seorang lelaki berusia 70-an yang sedang minum di kedai situ.

“Mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada muka dan badan,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Katanya, kira-kira 10 minit kemudian, suspek berjalan menuju  ke sebuah gerai menjual durian kira-kira 200 meter dari lokasi pertama sebelum menikam peniaga durian berusia 60-an menggunakan senjata sama dan mangsa meninggal dunia ketika menjalani rawatan di Klinik Kesihatan Awam Buloh Kasap.

Beliau berkata polis kemudian berjaya menahan suspek di lokasi kedua dan menemui parang yang digunakan oleh suspek warga tempatan itu.

Menurutnya, motif sebenar kejadian masih disiasat dan suspek disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sumber: BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)