Siakap Keli

Matahari Tegak Atas Kaabah, Gerhana Bulan Separa, Dua Fenomena Astronomi Berturutan Pada 16 Dan 17 Julai Ini

Pada 16 Julai jam 05:28 petang, matahari akan istiwa’ atau berada tepat di atas Kaabah yang merupakan kiblat bagi umat Islam di seluruh dunia. Fenomena ini merupakan kali kedua berlaku di dalam tahun ini selepas yang pertama pada 28 Mei 2019 yang lalu.

Ketika kejadian, bayang-bayang sinaran Matahari bagi semua objek tegak yang ada di permukaan Bumi akan menghala ke arah Kaabah. Lakaran bayang-bayang objek tegak pada ketika dan tarikh itu boleh dijadikan sebagai panduan untuk semua pihak melakukan semakan arah kiblat yang sebenar. Ianya dilakukan bagi menentukan sama ada wujud sedikit perubahan ataupun tidak.

Terkini, pihak Planetarium Negara melalui Facebook rasmi mereka mengeluarkan siaran media mengenai dua fenomena astronomi berturutan pada 16 dan 17 Julai selain daripada matahari tegak di atas Kaabah seperti di atas.

GERHANA BULAN SEPARA – 17 JULAI 2019 ( 4:01 PG – 6:59 PG )

Pada awal pagi Rabu 17 Julai 2019 pula akan berlaku fenomena Gerhana Bulan Separa bermula pada jam 4:01 pagi dan akan berakhir pada jam 6:59 pagi waktu Malaysia. Gerhana pada kali ini akan mencapai maksimum pada jam 5:30 pagi di mana pada waktu itu hampir separuh permukaan Bulan akan dilindungi oleh bayang-bayang umbra Bumi.

Planetarium Negara akan dibuka kepada awam mulai jam 2:00 pagi pada 17 Julai ini dengan menyediakan beberapa buah teleskop untuk kemudahan orang awam yang berminat untuk menyaksikan fenomena Gerhana Bulan Separa tersebut.

Sebelum berlakunya Gerhana Bulan Separa, sesi pencerapan planet Zuhal dan Musytari akan diadakan di hadapan pintu masuk utama Planetarium Negara bermula seawal jam 2:00 pagi.

Kenampakan fenomena Gerhana Bulan Separa dan juga planet-planet adalah juga bergantung kepada keadaan cuaca semasa.

Sumber: Planetarium Negara

Nur Farra