Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Bukan Nak Cepat Tapi Ini Rupanya Punca Tulisan Doktor ‘Cakar Ayam’ Dan Tak boleh Dibaca

Masih ingatkah kali terakhir anda berjumpa dengan doktor? Tiada apa yang pelik selain mendapatkan rawatan tetapi kami percaya mesti ramai yang sedar akan satu perkara ini.

Tulisan pada slip ubat atau preskripsi yang ditulis oleh doktor kadang kala hampir tidak dapat dibaca. Bukan sahaja cakar ayam tetapi bersambung antara satu sama lain hingga tidak sama langsung seperti ejaan sebenar.

Namun tahukah anda, para doktor bukan menulisnya sebegitu hanya kerana mahu cepat tetapi sebenarnya terdapat penjelasan rasional di sebalik tulisan itu.

Menurut kajian di dalam Jurnal Perubatan BMJ, hanya 1 daripada 4 orang doktor mendapat rating yang baik dan sangat baik untuk tulisan tangan mereka. Ini bermaksud 75% daripada doktor sememangnya menulis seperti contoh tulisan A dan B dalam rajah di bawah.

Berdasarkan kajian, empat sampel tulisan seperti di dalam gambar mewakili (A) sebagai lemah, (B) sederhana, (C) baik dan (D) sangat baik.

Namun, persoalan timbul mengapakah perkara ini berlaku? Adakah sebahagian besar doktor sememangnya dilatih untuk menulis sebegitu rupa?

Kajian tersebut menyimpulkan bahawa keadaan ini berlaku disebabkan oleh dua faktor. Faktor pertama berpunca daripada beban kerja yang ekstrem.

Lebih banyak pesakit yang berada di ruang menunggu, lebih sedikit masa yang diperlukan oleh doktor untuk menulis preskripsi pada ubat. Disebabkan itu kualiti tulisan tangan mereka mula menurun.

Tetapi, apa yang menarik perhatian di dalam kajian tersebut adalah daripada punca kedua. Mereka mendapati para doktor sendiri mengakui mereka menghasilkan tulisan seperti itu kerana percaya sebagai doktor seharusnya menulis sebegitu.

Perkara ini membawa kepada kesimpulan dalam kajian tersebut bahawa sebahagian doktor sengaja menulis sedemikian rupa.

Pada masa yang sama, menurut Forbes, penjelasan kepada punca ini juga disebabkan oleh kerana tabiat dari semasa ke semasa menyalin nota yang banyak sejak di sekolah perubatan sekaligus membawa kepada kebiasaan tulisan ‘cakar ayam’ ketika di alam pekerjaan.

Sumber : theuijunkie.com, Forbes

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Nur Farra