Berikutan cadangan kerajaan Malaysia untuk menurunkan had umur mengundi dan had umur calon pilihan raya seawal 18 tahun, hari ini Malaysia berjaya melakar sejarah baru dengan lulusnya pindaan Perlembagaan Persekutuan di Dewan Rakyat petang tadi.
Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu memperoleh masing-masing sokongan 211 daripada 222 ahli Parlimen selepas dua kali undi belah bahagi dilakukan, iaitu lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan Rakyat. Menurut Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, tiada ahli parlimen yang tidak bersetuju dan tidak mengundi.
Tambahnya lagi, kelulusan pindaan tersebut merupakan sejarah bagi kerajaan Malaysia hari ini tepat setahun Parlimen itu bersidang.
Selain menurunkan umur warganegara yang layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, pindaan itu turut mencadangkan penurunan umur warganegara yang layak menjadi ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri kepada 18 tahun, serta mereka didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.
Berikutan penurunan had umur calon Dewan Undangan Negeri ini diluluskan, pihak kerajaan negeri juga perlu memainkan peranan bagi membuat pindaan terhadap peruntukan berkaitan dalam Perlembagaan Negeri atau Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing.
Selain itu, pihak pembangkang juga mencadangkan supaya belia berumur 18 bukan sahaja diberi hak mengundi tetapi juga menjadi calon pilihan raya dan komitmen blok pembangkang sebelum ini untuk menyokong pindaan berkenaan.
Kerajaan menjangkakan seramai 7.8 juta pengundi baharu dimasukkan ke dalam daftar pemilih setiap tahun sehingga tahun 2023. Dianggarkan jumlah pengundi pada tahun 2023 akan meningkat lebih daripada 50 peratus menjadikan jumlah pengundi sekitar 22.7 juta, berbanding 14.9 juta pada Pilihan Raya Umum ke-14, tahun lepas.
Sumber: Bernama