Siakap Keli
Kredit: The Independent/Bernama

Genap 5 Tahun Tragedi MH17, Kerajaan Janji Tegakkan Keadilan

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Kerajaan berjanji akan komited mendakwa mereka yang bertanggungjawab atas tragedi yang menimpa kapal terbang Malaysia Airlines (MAS), MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada lima tahun lalu.

“Lima tahun telah berlalu tetapi ketetapan kami untuk akauntabiliti dan keadilan tidak akan berkurang. Kerajaan Malaysia akan terus mengejar mereka yang bertanggungjawab ke atas jenayah kejam ini dan akan menegakkan keadilan kepada mangsa-mangsa,” kata Menteri Pengangkutan dalam satu kenyataan hari ini.

Malaysia akan terus bekerjasama dengan Pasukan Penyiasatan Bersama dan negara-negara lain serta komuniti global yang turut bersedih atas insiden malang berkenaan untuk menyampaikan maklumat terkini dalam menegakkan keadilan kepada keluarga mangsa.

“Setiap keluarga dan waris yang terkesan dengan tragedi ini patut mendapat keadilan.

“Kami berharap dan berdoa agar keluarga dan mereka yang terkorban diberikan kekuatan untuk meneruskan hidup dengan normal tanpa insan tersayang. Kami akan tetap tegas dalam usaha ini dan kami akan selidik setiap perkara sehingga keadilan tertegak,” katanya lagi.

Pada 17 Julai 2014, pesawat MH17 dari Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam ke Kuala Lumpur telah ditembak jatuh berhampiran Torez, di Donetsk Oblast, Ukraine, yang terletak kira-kira 40 kilometer dari sempadan Rusia serta mengorbankan kesemua 298 mangsa yang berada di dalam penerbangan tersebut termasuk 15 kru kapal.

Pada 19 Jun lalu di Netherlands, penyiasat antarabangsa mendakwa empat individu (3 warga Rusia dan 1 warga Ukraine) dengan tuduhan membunuh atas tragedi tersebut.

Walaubagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia tidak berpuas hati dengan laporan berkenaan dan menggesa pasukan penyiasatan menyertakan bukti dakwaan tersebut.

Sumber: Bernama

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.