Siakap Keli
Gambar : IG rihanapetra

Penceraian Sultan Muhammad V : Kerajaan Kelantan Tidak Terima Sebarang Maklumat

Kota Bharu : Kerajaan Kelantan setakat ini tidak menerima sebarang maklumat rasmi daripada istana Kelantan berhubung perceraian Sultan Muhammad V dengan isterinya Rihana Oksana Gorbatenko, 27, seperti yang dilaporkan beberapa media hari ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata kerajaan negeri juga tidak berhasrat untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu.

“Isu perkahwinan dan perceraian adalah perkara lumrah dalam kehidupan dan tidak perlu dijadikan diperbesarkan atau pun dijadikan sebagai tajuk utama akhbar.

“Saya hairan apabila isu tersebut dijadikan laporan muka hadapan beberapa akhbar utama. Apakah tujuan tindakan itu dilakukan…Kita bimbang jika ada agenda tersembunyi disebalik tindakan itu kerana perkara ini melibatkan seorang Sultan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada sumber selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

“Sultan ini ibarat mak ayah, kita kena hormatlah macam kita hormat Perdana Menteri. Kita tidak setuju itu cerita lain tetapi penghormatan perlu ada,” katanya.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini menyiarkan laporan muka hadapan mengenai Sultan Muhammad V yang didakwa telah menceraikan Rihana Oksana yang berasal dari Rusia.

Dalam pada itu Mohd Amar berkata kerajaan Kelantan belum menerima sebarang arahan untuk mengambil tindakan ke atas pihak atau individu tertentu yang menyalahgunapakai gelaran dari istana.

Semalam Pengelola Istana Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan melalui satu kenyataan berkata tiada sesiapa boleh digelar Permaisuri Kelantan, Raja Perempuan Kelantan, Sultanah Kelantan atau ‘Queen of Kelantan’ tanpa sebarang pengumuman rasmi dari Istana Kelantan.

Kenyataan rasmi itu juga turut memaklumkan Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra ialah Tengku Mahkota Kelantan manakala Tengku Anis Tengku Abdul Hamid digelar Raja Perempuan Tengku Anis.

Sementara itu dalam perkembangan lain Mohd Amar berkata teguran Laporan Audit Negara berhubung pelaksanaan Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK) tidak mencapai objektif yang ditetapkan adalah kurang tepat dan wujud kekeliruan.

“Konsep RMMK bukan bermakna semuanya dibuat oleh kerajaan Kelantan tetapi juga oleh agensi peneraju kita yang lain termasuk PMBK dan PKINK. Pada pandangan audit semua 5,000 buah rumah itu kerajaan negeri yang buat sebab itu laporan audit negatif.

“Padahal jika dikira secara keseluruhan rumah yang dibina sudah mencapai target termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) oleh kerajaan Persekutuan. Silap faham itulah yang saya rasa perlu diperbetulkan,” katanya.

Katanya Kelantan telah mencapai sasaran untuk membina 5,000 buah rumah mampu milik dan perkara itu sudah dibentangkan sebelum ini menerusi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh exco berkaitan.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.