Siakap Keli
Gambar: Khairul Jamain

Bagi Buku, Pensil Takut-Takut Nak Sentuh, Pemuda Kongsi Kisah Dekati Masyarakat Bajau Laut

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Pendidikan merupakan tunggak sesebuah bangsa dan negara. Tanpa pendidikan, kita tidak mampu membentuk tamadun kerana dengan ilmu dan pendidikanlah kita dapat mengatur sesebuah negara secara sistematik.

Tugas menjadi guru bukanlah tugas yang mudah. Ramai yang boleh mengajar di dalam kelas tetapi tidak ramai yang mampu mendidik dengan menjadi tauladan.

Para pendidik yang sanggup bersusah payah demi anak bangsa untuk mengenal erti kehidupan perlu dijadikan contoh. Ada antara mereka yang sanggup meredah sungai penuh buaya menaiki sampan dan ada yang berkampung di pedalaman untuk memastikan komuniti di sana mendapat pendidikan.

Inilah yang dilakukan oleh seorang sukarelawan, Khairul Jamain yang mencoretkan kisahnya mendekati etnik Bajau Laut di Lautan Celebes, Semporna, Sabah demi memastikan komuniti di sana mendapat pendidikan sepatutnya. Jom kita baca perkongsian beliau.

Kertas dan pensel yang ditakuti Bajau Laut

Kertas dan pensel adalah alat untuk mengubah masa depan, kerana tiada satu negara yang maju tanpa pendidikan. Sudah 4 bulan aku di Lautan Celebes, Semporna dan kerana terlalu sibuk, hampir sebulan aku tidak bertemu dengan Anita, seorang gadis Bajau Laut sekitar 14-17 tahun.

Rindu juga dengan kerenahnya yang selalu banyak bercerita tentang rakan-rakannya serta ikan yang ditangkapnya.

Kredit: Khairul Jamain

Selama sebulan dua juga aku berusaha mendekati komuniti Bajau Laut ini kerana tidak mudah orang luar seperti aku untuk diterima oleh mereka. Aku mengkaji dan melihat bagaimana cara hidup dan budaya komuniti ini dan aku mula sedar bahawa mereka kehilangan sesuatu yang besar iaitu “Pendidikan”.

“Haaaaaaaaa” aku mengeluh sambil memandang lautan Celebeas yang tenang. Wajah anak-anak itu jelas keriangan seperti menandakan tiada apa duka yang mencarik hidupnya.

Ombak yang terhempas di hadapan rumah ini tak pernah mempunyai destinasi tetap dalam hidupnya, mungkin juga tak pernah terdetik dalam dirinya untuk bertanya dari mana asalnya dan ke mana arahnya.

Aku bertekad menjadi cikgu disini, aku tidak mengajar mereka “A,B,C atau 1,2,3” dahulu tetapi mereka harus diajar mengenal kehidupan, sebab itu aku tidak terus mengajar mereka seperti sekolah formal.

Apa yang aku ajar adalah melukis, menyanyi, bercerita dan menunjukkan contoh yang baik. Masih ingat ketika mula-mula aku memberi mereka kertas dan pensel, mereka tidak mahu menyentuhnya kerana berasa takut dan tidak tahu bagaimana menggunakannya.

Kredit: Khairul Jamain

“Sebelum aku belajar menghargai sesuatu, aku belajar kehilangan sesuatu”.

Impian itu mestilah setinggi langit, bahkan untuk mencapai bulan pun manusia memerlukan waktu berpuluh tahun menyiapkan segala persiapan teknologi.

Lihat bagaimana kesungguhannya tapi impian aku cuma kecil, aku mahu mereka punya sekolah sendiri yang mampu mendidik anak-anak Bajau Laut di sini. Impian itu harus ditanam dari sekarang supaya ia bisa dibaja dan tumbuh mekar suatu hari nanti.

Sebab itu aku sanggup mengeluarkan kos sendiri seminggu 2-3 kali datang ke komuniti Bajau Laut semata-mata untuk mengajar mereka kerana aku percaya mereka punya harapan.

Kredit: Khairul Jamain

Selama aku ke pulau untuk mengajar, aku harus mengeluarkan kos RM400 setiap bulan untuk bot kecil sebagai pengangkutan utama pergi dan pulang. Perjalanan mengambil masa antara 30-50 minit bergantung pada keadaan laut dan ombak.

Yang paling menyentuh hati aku apabila Kamalita memberikan nama anaknya yang berusia 7 bulan bernama “KHAIRUL” sebagai tanda dia dan keluarganya mengingati nama aku.

Apa yang aku buat ini adalah inisiatif sendiri menyumbangkan semula apa yang aku ada kepada masyarakat.

Aku adalah laki-laki yang menggantung penulisanku ini di atas angin lalu berharap ia akan tersebar ke jantung rakyat, aku juga laki-laki yang menulis penulisanku pada pasir pantai lalu berharap kata-kata ini terdampar di seberang pantai Laut Cina Selatan.

Usaha dan harapan telahku benih, sekarang aku cuma mampu berdoa pada tuhan agar usaha dan pengharapan menjadi sebatang pokok yang akan memberi manfaat kepada masyarakat.

Kredit: Khairul Jamain
Anita sedang belajar menulis namanya. (Kredit: Khairul Jamain)

Sumber: Khairul Jamain

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.