Siakap Keli
Kredit: Bernama/Business Live

Mansuh Hukuman Mati Mandatori, Hakim Punya Budi Bicara Lebih Meluas – Liew

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) — Pemansuhan hukuman mati mandatori tidak bermaksud hukuman mati di bawah undang-undang dimansuhkan sama sekali, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata sebaliknya, kerajaan mencadangkan agar hakim diberi budi bicara yang lebih meluas dalam menjatuhkan hukuman selain hukuman mati iaitu penjara seumur hidup atau dipenjarakan bagi tempoh tertentu berdasarkan fakta kes.

Sekiranya hukuman yang dijatuhkan hakim dianggap tidak memadai, pendakwa raya masih boleh menfailkan rayuan ke mahkamah atasan.

“Terdapat 33 kesalahan di bawah akta sedia ada yang membawa hukuman mati dengan 11 daripadanya adalah mandatori. Mandatori bermaksud bahawa apabila seseorang itu didapati bersalah, maka mahkamah tidak ada pilihan lain, melainkan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama.

Beliau berkata bagi 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, sembilan daripadanya adalah jenis kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan dua lagi di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

“Bagi 22 daripada 33 kesalahan itu, mahkamah ada budi bicara untuk menjatuhkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan. Itu terpulang kepada mahkamah selepas mendengar semua faktor perundangan dan fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman yang ada,” katanya.

Rang undang-undang bagi meminda hukuman mati mandatori dijangka dibentang pada Oktober ini di Dewan Rakyat selepas kerajaan memutuskan tempoh hukuman penjara yang setimpal sebagai alternatif kepada hukuman maksimum itu.

Liew berkata cadangan memansuhkan hukuman mati mandatori itu bukan perkara baharu dan tidak dibuat secara terburu-buru seperti yang digembar-gemburkan pihak tertentu kerana kajian berhubung hukuman mati itu telah dimulakan kerajaan terdahulu, seawal 2010.

Beliau berkata kajian berhubung pemansuhan hukuman itu dilaksanakan I-CeLLS di bawah naungan kerajaan terdahulu, dikenali sebagai ‘The Death Penalty in Malaysia and the Way Forward’, sekitar 2013 dan antara yang disyorkan kajian itu adalah kesemua hukuman mati di Malaysia dimansuhkan sama sekali.

Justeru, Liew menegaskan isu pemansuhan hukuman mati mandatori itu tidak seharusnya dipolitikkan.

Satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk mengkaji hukuman alternatif yang memadai untuk setiap kesalahan (selain daripada hukuman mati) dan aspek teknikal berkaitan dengan pemansuhan hukuman mati mandatori.

Jawatankuasa itu akan terdiri daripada wakil agensi kerajaan, pakar perundangan, ahli akademik, pertubuhan masyarakat sivil dan pihak berkepentingan.

“Kerajaan bersedia mendengar suara setiap lapisan masyarakat termasuk pertubuhan masyarakat sivil dan golongan minoriti agar undang-undang baharu itu lebih bersifat inklusif, holistik dan efektif,” tambahnya.

Beliau juga berkata pihaknya akan ‘turun padang’ untuk memberi penerangan secara terperinci kepada masyarakat umum agar lebih jelas mengenai perkara itu.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.