Siakap Keli
Gambar: Paulo John

”Ma, Anak Ma Dah Bergraduasi”, Pemuda ‘Ajak’ Potret Mendiang Mak Teman Konvo

Kehilangan seorang ibu merupakan mimpi ngeri bagi setiap anak. Walaupun sudah berganti tahun, pasti ada kesedihan di sudut hati yang mampu menggugurkan air mata bila terkenangkan memori bersamanya.

Detik-detik indah pun boleh mengundang kesedihan apabila mengenangkan insan tersayang yang sepatutnya meraikan kejayaan bersama tiada di sisi.

Inilah yang dihadapi oleh Paulo John, seorang graduan bidang Pengurusan Perniagaan di Filipina yang bergraduasi tanpa sosok seorang ibu di sisi.

Bagi memastikan ibunya tetap ‘hadir’, Paulo menempah potret ibunya dengan ketinggian sebenar wanita tersebut, 157 cm untuk dibawa ke hari konvokesyen sebagai saksi kejayaannya.

Kredit: Paulo John

Dalam kiriman di media sosial, Paulo berkata,

“Buat ibuku yang tercantik! Ma, anak sulung mama sudah bergraduasi. Saya harap mama gembira di sisi Tuhan. Saya sudah habiskan belajar kerana ini yang mama inginkan. Saya sayang mama sangat-sangat.”

Menurut media tempatan, pemuda ini membuat potret berdiri itu kerana dia berimpian untuk bergraduasi bersama ibunya, Carmen di sisi. Carmen meninggal dunia pada Ogos 2016 akibat pneumonia.

“Saya tempah potret ini dua minggu lalu kerana saya sentiasa menginginkannya menemani saya pada hari graduasi. Ketika potret ini sampai kepada saya, saya menangis kerana menyangka ia adalah realiti. Saya berfikir ia cantik dan seram pada masa yang sama,” katanya.

“Saya tempah potret ini agar sekurang-kurangnya saya dapat rasakan kehadiran ibu ketika bergraduasi kerana graduasi saya dari kolej merupakan impian kami berdua.”

Paulo menempah potret tersebut pada harga PHP 1,500 bersamaan kira-kira RM 119 termasuk caj penghantaran. Dia turut berpesan kepada syarikat pembuat potret berkenaan agar memastikan ketinggian potret itu sama dengan ketinggian mendiang ibunya.

Kredit: Paulo John

Dia membawa potret tersebut ke majlis graduasi bagi menghargai jasa ibunya yang menampung dirinya selama bertahun-tahun.

“Ibu saya merupakan ibu tunggal untuk beberapa tahun. Dia menghantar saya ke sekolah swasta dan kami sangat rapat antara satu sama lain,” ujarnya.

“Ibu tidak meminta ayah tiri saya untuk menghantar saya ke kolej. Semua wang dibekalkan oleh ibu dan ibu saudara yang membantu.”

“Apabila saya membawa potret ini ke hari graduasi, saya berasa sangat gembira kerana seolah-olah masih bersama ibu.”

Kiriman Paulo mendapat perhatian daripada warga maya sehingga mendapat 48 ribu like dan 4.8 ribu ulang kicau.

Pada masa yang sama, Paulo turut berkongsikan gambar seorang graduan yang melakukan perkara yang sama seperti dirinya – membawa potret ibu ke majlis graduasi.

Buat anda yang masih ada ibu bapa, hargailah mereka.

Sumber: Coconuts.co, Paulo John

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.