Siakap Keli
Foto: FB Syahril A. Kadir

”Sanggup Bermandi Darah, Biar Badan Dirobek Peluru”, Kisah ‘Man Bongek’ Wira PDRM Buru Penjenayah

Kita sering kali mendengar nama-nama seperti Allahyarham Leftenan Adnan, Allahyarham Prebet Azman dan sebagainya apabila bercakap mengenai pengorbanan wira-wira dalam menjaga keselamatan negara.

Keberanian dan semangat juang mereka ini tidak dapat dinafikan lagi sehingga ada di antara kisah hidup mereka yang telah ditayangkan dalam bentuk filem.

Namun, sebenarnya masih ramai lagi perwira negara yang kisahnya tidak diketahui ramai, walaupun pengorbanan yang mereka lakukan tidak kurang hebatnya.

Antaranya ialah Sarjan Mejar Nor Azman Mohd Zain atau lebih dikenali dengan nama Man Bongek. Kisah pengorbanan beliau telah dikongsikan oleh saudara Syahril A. Kadir melalui kiriman di laman Facebook-nya baru-baru ini.

MAN BONGEK ENGGAN MENYERAH WALAU TUBUH DIROBEK PELURU DAN BADAN BERMANDI DARAH

TARIKH 30 Julai 1994.

Jam menunjukkan pukul 10.15 pagi. Man Bongek dan rakan-rakannya dari Cawangan D9 (Jenayah Berat) Kuala Lumpur sudah bersedia dengan senjata semi automatik di tangan masing-masing.

Sasaran mereka adalah penjenayah paling dikehendaki, Sunny Leong yang pulang ke rumahnya di Taman Cuepacs, Cheras, Kuala Lumpur.

Sebelum ini Sunny melarikan diri agak lama ke Thailand setelah terlibat dalam beberapa siri rompakan bersenjata api di sekitar Lembah Kelang.

Walaupun Man Bongek baru berusia 32 tahun ketika itu, namun pengalamannya bukan calang-calang, apatah lagi bekas anggota Unit Tindak Khas (UTK) itu sangat dikenali oleh rakan-rakannya sebagai seorang yang ‘berhati kering’, yang sanggup buat apa saja demi memastikan kejayaan setiap operasi yang mereka sertai.

Namun sebaik saja mereka berjaya memecah masuk ke rumah suspek, suasana menjadi agak hening. Kelibat Sunny langsung tidak kelihatan. Puas mereka mencari dari satu bilik ke satu bilik namun hampa.

Hati Man Bongek mula gelisah. Dia tahu bagai ada sesuatu yang tak kena. Ternyata telahannya benar. Tidak semena-mena tiba-tiba Sunny muncul dari arah dapur dan melepaskan tembakan membabi buta ke arah mereka.

Dua butir peluru dari senjata Sunny berjaya hinggap ke tubuh Man Bongek sebelum menembusi rusuk dan melekat di peparunya.

Darah membuak keluar dan membasahi tshirt serta jaket kalis peluru yang dipakainya. Malang sekali kerana peluru Sunny masuk di celah jaket tersebut yang tiada berpelindung.

Foto: FB Syahril A. Kadir

Walaupun Sunny berjaya ditembak mati dalam operasi itu namun hampir seminggu Man Bongek koma di hospital dan lebih sebulan terpaksa berada di wad. Walaupun peluru tersebut berjaya dikeluarkan namun serpihannya masih ada di tubuh Man Bongek sehingga kini.

Yang pasti walau parah ditembak, ia langsung tidak mematahkan semangatnya. Sebaik saja sembuh, Man Bongek tidak menunggu lama untuk kembali ‘beraksi’.

Dalam operasi memburu seorang lagi penjenayah yang dikehendaki, Fei Loong di Balakong, Selangor, Man Bongek telah bertindak mengejar kereta yang dipandu suspek dengan sebuah motorsikal berkuasa tinggi sambil dibonceng rakan sepasukannya.

Ketika adegan kejar tersebut, Fei Loong bertindak melepaskan dua das tembakan ke arah Man Bongek namun beliau bernasib baik kerana ia terkena pada jaket kalis peluru yang dipakainya.

Sebaik saja berjaya memintas kereta yang dipandu Fei Loong, Man Bongek tidak menunggu lama untuk membalas tembakan sehingga memyebabkan suspek mati dan rebah terkulai di stering keretanya.

Itu hanya secebis kisah daripada 10 tahun perkhidmatannya di Cawangan Jenayah Berat. Selepas itu Man Bongek bertukar pula ke Cawangan Kongsi Gelap (D7) dan kini bertugas di bahagian trafik sementara menunggu tarikh persaraan wajibnya dua tahun lagi.

” Saya benci penjenayah. Kemarahan saya semakin memuncak bila saya sendiri menjadi mangsa mereka, sehingga sekarang serpihan peluru-peluru kecil masih melekat di tubuh saya dan ia terpaksa saya ‘tanggung’ hingga ke akhir hayat.

‘Man Bongek’ menunjukkan kesan tembakan di rusuknya(Foto: FB Syahril A. Kadir)

” Allah saja yang tahu betapa sengsaranya saya kerana paru-paru saya terpaksa ditebuk dan hampir 10 botol darah terpaksa dikeluarkan daripada organ saya itu.

” Itulah harga sebuah pengorbanan dan saya redha demi memastikan keamanan terus dikecapi masyarakat walaupun tanpa pingat kebesaran segala,” katanya.

Menurut Man Bongek, beliau sering menyapu darah suspek yang ditembak ke wajahnya sebagai tanda ‘kepuasan’ kerana berjaya menumpaskan penjenayah.

Sesungguhnya keberanian yang dimiliki Man Bongek cukup luar biasa. Sewajarnya sudah tiba masanya insan seperti Man Bongek diangkat kisah keperwiraannya dan diberi ganjaran setanding dengan pengorbanan yang telah dicurahkan pada tanah air yang tercinta ini.

Mereka adalah wira yang tidak didendang atau ‘unsung hero’ yang tak mungkin dapat kita balas jasa dan budi yang dicurahkan.

Bezanya mereka bukan ‘bertelur sebiji tetapi riuhnya sekampung’ .

Orang seperti Man Bongek telah menyempurnakan sumpah Sang Saka Biru yang mereka lafazkan.

Beliau kini bergelar Sarjan Mejar di bahagian trafik(Foto: FB Syahril A. Kadir)

Salute buat Man [email protected] Sarjan Mejar Nor Azman ‘Blade’ Mohd Zain.

Kita pula bagaimana?

Sumber: FB Syahril A. Kadir

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Dari Wiser.my

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.