Siakap Keli
Kredit: Glantz/Texas Instruments

Kenapa Kebanyakan Wayar Berbentuk Bulat, Tak Boleh Ke Buat Bentuk Leper Atau Bersegi? Ini Jawapannya

Sekiranya kita perhatikan di sekeliling kita, hampir kesemua peralatan elektronik menggunakan wayar berbentuk bulat. Daripada wayar televisyen, ketuhar, seterika hinggalah wayar pengecas telefon pintar, hampir kesemuanya berbentuk bulat. Jarang sekali kita temui wayar yang berbentuk leper. Mengapa ya?

Ini jawapannya menurut seorang jurutera elektronik, John Haddy di Quora.

Wayar bersegi lebih cepat haus

Umum mengetahui, wayar diperbuat daripada dua komponen utama iaitu bahan penebat dan bahan konduktor. Bahan penebat berfungsi membalut dawai konduktor di dalam wayar untuk mengelakkan pengguna terkena renjatan elektrik.

Penggunaan wayar yang bersegi dan berbucu lebih mudah rosak kerana struktur bucu akan lebih cepat haus terutamanya apabila bergesel ketika digunakan.

Apabila bahan penebatnya lebih cepat haus dan menipis, ia akan menyebabkan bahan konduktor di dalamnya lebih cepat terdedah sekaligus meningkatkan kos penyelenggaraan peralatan berkenaan.

Lebih fleksibel

Wayar berbentuk bulat atau silinder lebih mudah dilenturkan apabila digunakan dalam kehidupan seharian. Cuba bayangkan jika wayar seterika berbentuk leper atau segi empat, pasti sukar untuk anda menggunakannya dalam keadaan bergerak-gerak.

Pendawaian lebih mudah

Apabila wayar ini digunakan dalam komponen elektronik, wayar silinder lebih mudah memasuki lubang yang kebiasaannya berbentuk bulat. Lubang berbentuk bulat pula sering ditemui dalam komponen elektronik berbanding bentuk segi lain yang lebih sukar dibuat dan lebih tinggi kosnya.

Selain itu, struktur sebegini dapat memudahkan proses pemasangan wayar (wiring) di rumah kerana rekabentuknya yang fleksibel.

Proses pembungkusan lebih mudah dan murah

Walaupun ada yang berpendapat wayar segi empat lebih mampu membalut bahan konduktor di dalam dengan lebih baik tanpa ada ruangan antara dawai konduktor, pembungkusan seperti ini lebih mahal untuk dilakukan dan memerlukan teknologi yang lebih tinggi.

Sementara itu, wayar yang bulat dapat dibungkus dengan lebih mudah dan kosnya juga lebih rendah – faktor penting bagi pengilang dalam menghasilkan produk.

Sumber: Quora

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.