Siakap Keli
Kredit: Google

Pembeli Kini Ada Tempoh 15 Tahun Untuk Saman Pemaju Sekiranya Rumah Dibeli Rosak, Peguam Kongsi Caranya

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Hancur harapan apabila rumah idaman yang dibeli pada harga ratusan ribu ringgit akhirnya berakhir dengan keretakan setelah beberapa tahun dihuni.

Kes keretakan bangunan seringkali berlaku antaranya berpunca daripada pergerakan tanah dan foundation bangunan yang tidak kukuh.

Hal ini semestinya boleh membahayakan anda yang menghuni rumah berkenaan di samping mungkin menyebabkan masalah lain seperti saluran paip pecah serta tingkap atau pintu tersangkut pada rel dan tidak dapat dibuka.

Penduduk Pangsapuri Taman Keramat Permai pernah diancam keretakan lantai yang teruk hingga ada yang boleh melihat rumah bawah. (Kredit: Bernama)

Di sebabkan kerosakan ini lazimnya berlaku setelah beberapa tahun, anda selalunya tidak dapat mengesan bibit-bibit kerosakan dengan lebih awal. Oleh itu, undang-undang liabiliti kerosakan sehingga 15 tahun pasti membuatkan anda dapat menarik nafas lega.

Jom kita baca huraian oleh Jumpa Kat Mahkamah di bawah.

Ada undang-undang baru; kini anda mempunyai tempoh sehingga 15 tahun untuk saman pemaju jika rumah anda cacat atau rosak. Bayangkan lepas duduk rumah baru, semuanya nampak okey, tanpa anda ketahui sebenarnya ada keretakan atau kerosakan yang anda tak nampak pada bahagian rumah anda.

Tempoh defect liability period (biasanya 2 tahun sahaja) yang mewajibkan pemaju untuk membaiki rumah anda jika terdapat kerosakan sudah pun tamat tetapi anda masih tidak tahu tentang kerosakan ‘tersembunyi’ pada rumah anda.

Namun secara tiba-tiba selepas 6 tahun anda menduduki rumah anda, anda dapati terdapat keretakan yang serius pada bahagian rumah anda akibat kecuaian pemaju! Adakah anda masih boleh mengambil tindakan terhadap pemaju?

Secara umumnya, had masa untuk mengambil tindakan sivil dalam mahkamah adalah terhad kepada 6 tahun sahaja. Ini diperuntukkan dalam seksyen 6 Akta Had Masa 1953. Namun, pada tahun lalu, Parlimen bersetuju untuk meminda undang-undang ini dengan memasukkan seksyen 6A. Apakah seksyen 6A ini?

Seksyen 6A memanjangkan tempoh had masa anda untuk menyaman pemaju sehingga 15 tahun. Ini kerana banyak kes kecacatan rumah hanya dikenalpasti selepas tempoh yang lama.

Jika menurut undang-undang had masa yang lama, ramai yang tidak dapat mengambil tindakan terhadap pemaju. Namun selepas seksyen 6A ini digubal, ia memberikan tempoh masa yang lebih lama untuk pembeli berbuat demikian.

Seksyen 6A ini hanya terpakai kepada kecuaian yang melibatkan harta benda sahaja dan tidak melibatkan kecacatan pada tubuh badan (personal injuries).

Rumah orang Asli di Pos Slim tidak selamat akibat rekahan tanah berpunca dari hujan lebat dan jarak rumah yang dekat dengan sungai. (Kredit: Bernama)

Mari lihat illustrasi dalam seksyen 6A(2);

a) C membeli rumah daripada D pada tahun 2000. Pada 2010, C mendapati terdapat keretakan teruk pada dinding rumah. Laporan bangunan oleh perunding mendapati keretakan tersebut berlaku sejak 2002, dua tahun setelah C berpindah masuk ke rumah itu. C mempunyai tiga tahun dari 2010 untuk mendakwa D di mahkamah atas kerosakan itu.

Perlu diingat sebaik sahaja anda menyedari kerosakan pada rumah anda, anda mempunyai 3 tahun sahaja untuk membawa pemaju ke muka pengadilan (bukan 15 tahun).

Tempoh 15 tahun adalah tempoh maksimum undang-undang melindungi anda dari kerosakan yang anda tidak sedari. Lihat illustrasi seterusnya dalam seksyen 26A(3);

C membeli rumah dari D pada 2000. Pada 2017, C mendapati ada keretakan teruk pada dinding rumah. Laporan bangunan oleh perunding mendapati keretakan itu berlaku sejak 2001, setahun selepas C berpindah ke rumah tersebut. C tidak boleh memulakan tindakan kerana dia telah melebihi tempoh 15 tahun.

Undang-undang seperti seksyen 26A ini adalah sangat bagus kerana ia mendorong pemaju supaya mempastikan kualiti bahan binaan yang digunakan adalah berkualiti dan boleh bertahan untuk suatu tempoh yang lama.

Pemaju juga akan lebih berhati-hati kerana tidak mahu berdepan dengan tuntutan daripada pembeli di masa hadapan akibat kerosakan yang tidak sepatutnya berlaku.

Sumber: Jumpa Kat Mahkamah

Arifah

Banyak benda dalam dunia ni berada di luar pengetahuan kita - lalat hinggap atas kepala sendiri pun kita tak tahu.
So, pause & stop judging everyone we don't know. We might only knew 0.1% of their life.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.