Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Takpe Ke Tak Hadir Jemputan Kahwin Melalui Facebook? Jangan Ambil Endah, Ini Hukum Ramai Tak Tahu

Seiring dengan teknologi, ramai kini yang menggunakan medium media sosial seperti Facebook bagi menjemput tetamu yang dekat dan jauh untuk datang ke majlis keraian mereka. Bukan sahaja memudahkan tuan rumah, malah menjimatkan masa jika jumlah jemputan melibatkan tetamu yang ramai.

Namun, persoalan mula timbul apabila ada yang bertanya :

Assalamualaikum w.b.t S.S Mufti, saya dijemput untuk hadir ke kenduri perkahwinan melalui Facebook, tetapi saya tidak menghadirinya. Apakah hukumnya ?

Bagi menghuraikan segala persoalan, ikuti perkongsian oleh Mufti Wilayah seperti di bawah. Jangan ambil mudah kerana ramai yang terlepas pandang mengenai hukumnya. Semoga bermanfaat buat semua.

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Mukadimah

Menurut kitab Al-Feqh al-Manhaji, Al-Walimah diambil dari perkataan الولْم yang membawa erti berhimpun atau berkumpul. Dinamakan dengan yang demikian itu kerana kedua pasangan suami isteri berkumpul padanya (majlis perkahwinan).

Kemudian disebutkan, al walimah merupakan makanan perkahwinan, atau kesemua makanan yang dibuat untuk dijemput (orang ramai) dan selainnya. Rujuk Al-Feqh al-Manhaji (2/92).

Secara umumnya, menghadiri kenduri perkahwinan adalah suatu perkara yang diperintahkan. Dan seperti yang diketahui bahawa setiap kata perintah yang terdapat di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah membawa kepada hukum wajib, melainkan jika terdapat petunjuk-petunjuk lain yang mengalihkan hukum wajib tersebut.

Hukum Menghadiri dan Memenuhi Jemputan

Para fuqaha berbeza pendapat berkenaan hukum menghadiri jemputan ini dengan melihat kepada jenis dan kategori jemputan tersebut sama ada ia merupakan jemputan kenduri perkahwinan atau jemputan-jemputan selainnya. Kami ringkaskan seperti berikut:

Pertama: Hukum Menghadiri Jemputan Majlis Perkahwinan

Majoriti para ulama menyatakan bahawa hukum memenuhi jemputan perkahwinan adalah wajib. Ini berdalilkan dengan sebuah hadis daripada Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيَأْتِهَا

Maksudnya: Apabila salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia.

Riwayat Muslim 1053

Hukum wajib tersebut diambil daripada perkataan Nabi S.A.W فَلْيَأْتِهَا yang merupakan kata perintah yang membawa hukum wajib secara asasnya di sisi kaedah fekah.

Imam Al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas hadis di atas berkata: ‘’Pendapat paling sahih dalam mazhab kami, hukum menghadiri kenduri perkahwinan adalah fardhu ‘ain bagi mereka yang dijemput, akan tetapi kewajipan tersebut gugur disebabkan beberapa keuzuran berikut:

  • Sekiranya ada syubhah (keraguan) pada makanan.
  • Adanya kemungkaran di dalam majlis tersebut.

Secara asasnya, sekiranya seseorang itu mengetahui terdapatnya kemungkaran di majlis tertentu, maka wajib ke atasnya untuk mencegah kemungkaran tersebut sekiranya dia mampu mengubahnya. Manakala sekiranya dia tidak mampu, hendaklah dia tidak menghadiri majlis tersebut.

Berkaitan dengan isu menghadiri majlis yang terdapat di dalamnya kemungkaran, kami telah menjawabnya secara panjang lebar di dalam Irsyad Al-Fatwa Siri Ke- 224 : Hukum Duduk Di Dalam Majlis Yang Dihidang Arak Padanya yang boleh dibaca menerusi pautan berikut https://bit.ly/2HMzU1i

  • Majlis perkahwinan yang hanya mengkhususkan orang-orang kaya sahaja untuk hadir.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa beliau berkata:

 شَرُّ الطَّعَامِ طَعَامُ الْوَلِيمَةِ يُدْعَى لَهَا الأَغْنِيَاءُ وَيُتْرَكُ الْفُقَرَاءُ

Maksudnya: Seburuk-buruk makanan adalah makanan pada majlis perkahwinan yang dijemput padanya orang-orang kaya dan ditinggalkan (tidak dijemput) orang-orang miskin.

Riwayat Ibn Majah (1913)

  • Majlis perkahwinan yang dijemput oleh dzimmi (orang bukan Islam), maka pendapat yang sahih di sisi mazhab Imam Al-Syafie adalah tidak wajib untuk menghadirinya.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W dalam menyatakan hak (tanggungjawab) seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain antaranya:

وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ

Maksudnya: Dan apabila dia menjemput kamu (ke sesuatu majlis) maka hendaklah kamu menerimanya (menghadirinya).

Riwayat Muslim (2162)

Ini berhujahkan bahawa yang menjadi kewajipan apabila undangan datang dari umat Islam itu sendiri.

Adapun hukum menghadiri majlis perkahwinan orang bukan Islam maka kami nyatakan bahawa para ulama’ mazhab Syafi’e berpandangan, hukum menghadiri jemputan walimah orang bukan Islam ialah sunat sekiranya jemputan itu datang daripada kaum keluarga dan jiran tetangga atau jika kehadiran kita akan memberi manfaat kepada dakwah Islam. Rujuk Nihayah Al- Muhtaj, Al-Ramli (6/371).

Ini juga dipersetujui oleh Imam al-Mardawi dari mazhab Hanbali, yang turut menyebut akan keharusan menghadiri walimah orang bukan Islam dengan memetik pandangan Imam Ahmad dan Ibn Qudamah. Rujuk Al-Insaf, Al-Mardawi (8/320).

Kami juga menambah beberapa keuzuran lain seperti berikut:

  • Kesesakan lalu lintas, hujan lebat, jalan lecah, dan seumpamanya.

Kata Dr. Wahbah Al-Zuhaili: ‘’Antara keuzuran yang menggugurkan kewajipan untuk memenuhi jemputan adalah: Banyaknya kesesakan, hujan lebat, jalan lecah, sakit, dan seumpamanya’’. Rujuk Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuh, Al-Zuhaili (9/6622).

Ini mengguna pakai keuzuran-keuzuran yang membolehkan seseorang itu tidak menghadiri solat Jumaat.

  • Kenduri perkahwinan tersebut berlangsung jauh dari kediaman mereka yang dijemput.
  • Kesibukan orang-orang yang dijemput seperti tokoh-tokoh politik, agama, dan juga pemimpin masyarakat.
  • Banyaknya jemputan kenduri yang lain dalam hari yang sama di tempat-tempat yang jauh jaraknya.

Kata Imam Al-Nawawi lagi: ‘’Dan Al-Qadhi telah menukilkan kesepakatan para ulama dalam menyatakan wajibnya menyahut (menghadiri) jemputan walimah al-‘urs (majlis perkahwinan)’’. Rujuk Al-Minhaj, Al-Nawawi (9/570).

Begitu juga berdalilkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

وَمَنْ لَمْ يُجِبِ الدَّعْوَةَ فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَرَسُولَهُ

Maksudnya: Dan sesiapa yang tidak menyahut jemputan (dengan menghadirinya), sesungguhnya dia telah menderhakai Allah dan Rasul-Nya.

Riwayat Muslim (1432)

Ini bermaksud tidak menghadiri jemputan majlis perkahwinan dianggap sebagai suatu maksiat kepada Allah S.W.T, dan tidaklah perbuatan itu dianggap maksiat melainkan pada meninggalkan yang wajib.

Kedua: Hukum Hadir Jemputan Majlis Selain Perkahwinan Adalah Mustahab

Para ulama menyatakan bahawa hukum memenuhi jemputan menghadiri majlis selain dari majlis perkahwinan, seperti majlis keraian, majlis perpisahan, majlis akikah, dan seumpamanya adalahmustahab (iaitu sunat).

Kata Imam Al-Nawawi: ‘’Adapun selainnya (iaitu selain jemputan perkahwinan), maka ada dua pendapat di sisi ashab kami. Pertama, hukum menghadirinya adalah sama seperti walimatul ‘urus. Pendapat kedua, hukum memenuhi jemputan tersebut adalah mustahab’’.

Beliau juga turut menukilkan pendapat Imam Malik dan jumhur yang menyebut: ‘’Tidak wajib memenuhi jemputan (selain majlis perkahwinan)’’. Rujuk Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (9/570).

Hukum Menjemput Hadir Ke Majlis Perkahwinan Melalui Facebook Event

Dalam perkembangan masa kini, banyak berlaku perubahan dalam gaya hidup termasuklah isu jemputan ke majlis perkahwinan. Justeru kami menyatakan beberapa kaedah asas yang berkaitan dengan isu ini. Antaranya:

العادة محكَّمة

Maksudnya: Adat itu menjadi penentu hukum.

Ini bermakna, adat itu boleh menjadi penentu atau pemutus hukum dalam permasalahan-permasalahan yang berlaku. Yang mana permasalahan tersebut tidak terdapat padanya dalil-dalil yang jelas dalam menjelaskan hukumnya.

Justeru secara umumnya, hukum bagi perbuatan ini adalah harus. Ini juga bertepatan dengan sebuah kaedah fiqh yang menyebut:

الوَسَائِلُ لَهَا أَحْكَام المَقَاصِد

Maksudnya: Wasilah-wasilah mengambil pakai hukum maqasid.

Justeru, sekiranya tujuan seseorang itu benar-benar ingin menjemput orang ramai hadir ke majlis perkahwinannya, adalah dibolehkan untuk dia menggunakan apa sahaja wasilah menjemput yang harus sama ada melalui lisan, kad jemputan, atau aplikasi media sosial seperti facebook, twitter, dan seumpamanya.

Kesimpulan

Sebagai penutup kami menyatakan bahawa secara kebiasaannya jemputan yang datang dalam bentuk facebook event ini sekadar proses pemudah cara dalam menentukan jumlah bilangan individu yang akan hadir ke majlis perkahwinan tersebut dari kalangan rakan-rakan facebook pengantin. Bahkan kebiasaannya mereka akan menyebut bahawa kad jemputan akan menyusul sekiranya kita menekan pilihan going (akan hadir).

Meskipun begitu, sekiranya jemputan itu datang dalam bentuk yang umum seperti jemputan perkahwinan di majlis yang terdapat di dalamnya ramai orang, dan kita berada dalam majlis tersebut, maka tidak menjadi tuntutan (kewajipan) untuk kita menghadirinya di sisi majoriti ulama. Demikian juga kita katakan kepada isu jemputan yang datang melalui facebook event, kumpulan whats app (whats app group), dan sebagainya yang datang dalam bentuk jemputan umum.

Wajib memenuhi undangan perkahwinan yang ditujukan khas kepada anda meskipun dijemput melalui facebook

Oleh yang demikian, secara asasnya wajib bagi anda untuk memenuhi undangan perkahwinan yang ditujukan khas kepada anda meskipun ia dijemput melalui facebook. Tambahan pula ia turut disertakan pula dengan jemputan yang sama melalui medium-medium lain seperti jemputan secara berhadapan, kad jemputan, dan selainnya.

Hukum wajib ini sekiranya anda tidak ada sebarang keuzuran yang menghalang. Namun jika anda tidak dapat menghadirinya disebabkan terdapatnya keuzuran-keuzuran seperti yang telah kami nyatakan, maka ia tidaklah dianggap sebagai berdosa. Sebaiknya, sampaikanlah permohonan maaf kepada mereka yang menjemput serta perbanyakkanlah berdoa kepada pasangan yang melangsungkan perkahwinan agar mendapat rahmat dan berkat dari Allah S.W.T.

Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.

Sumber : Mufti Wilayah

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Nur Farra