Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Bekas Tentera Didakwa Lakukan Amang Seksual Terhadap Remaja

Melaka : Seorang bekas tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.

Bagi pertuduhan pertama, Zainal Abidin Zakaria, 44, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di Taman Kesidang Seksyen 3 di sini, antara 1 petang dan 3 petang, 5 Mei lepas.

Pertuduhan kedua pula, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan sama di belakang sebuah rumah di Bertam Malim di sini, antara 1 petang dan 3 petang, 3 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mazuin Hashim mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bersama syarat tambahan iaitu dia tidak boleh menghampiri mangsa dan keluarganya.

Namun, tertuduh yang diwakili peguam, Mohd Fadzlillah Ramlee merayu agar dikurangkan jaminan atas alasan anak guamnya menghidap kencing manis dan dia perlu menanggung dua anak serta ibu mentua yang sedang uzur.

Hakim Norma Ismail kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bersama syarat tambahan iaitu Zainal Abidin tidak dibenar kacau ganggu mangsa dan saksi pihak pendakwaan dalam kes itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Ogos  untuk sebutan semula kes.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.