Siakap Keli

Harimau ‘Jinak’ Sesat Dalam Kampung Disahkan Telah Mati

Minggu lalu, kemunculan seekor harimau di Dungun menjadi tular di media sosial. Rakaman  kelibat ‘Pak Belang’ itu menarik perhatian ramai apabila dikatakan ‘jinak’ dengan menjilat pipi seorang mangsa dan tidak menyerang mereka yang berada berhampiran.

Baca : ‘‘Nampak Macam Nak Terkam, Rupanya Jilat Pipi,” Netizen Simpati Lihat Pak Belang Jinak Kelaparan

Bagaimanapun, harimau berkenaan telah berjaya ditangkap oleh Jabatan Perhilitan sehari selepas itu untuk diberikan rawatan dan perlindungan. Pemeriksaan mendapati haiwan itu berada dalam keadaan dihidrasi dengan terdapat kecederaan pada kaki dan keradangan pada mata.

Terbaru, Jabatan Perhilitan dalam satu kenyataan media sebentar tadi mengesahkan harimau jinak yang diberi nama ”Awang Besul” disahkan telah mati pada kira-kira jam 5.30 pagi hari ini.

Menerusi kenyataan tersebut, Awang Besul disahkan positif ‘Virus Canine Distemper’ berdasarkan ujian yang dijalankan ke atasnya. Penyakit tersebut disebabkan oleh virus yang mudah menyerang haiwan domestik iaitu anjing atau lain-lain hidupan liar termasuk spesies harimau.

Difahamkan, jika penyakit ini terkena pada harimau ia akan menunjukkan tingkah laku tidak takut kepada manusia dan kebarangkalian harimau untuk sembuh adalah sangat tipis.

Dengan berat hati, Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia ingin memaklumkan bahawa Awang Besul telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya walaupun rawatan intensif dan terbaik telah diberikan kepada Awang Besul.

Awang Besul usah risau. Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli melalui Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia akan terus membela nasib rakan-rakan Awang bagi memastikan Harimau Malaya kekal untuk generasi akan datang.

Sumber : Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.