Siakap Keli
Gambar Hiasan

Tular Dakwaan Logo Tahun Melawat Malaysia 2020 Diciplak, Menteri Tampil Beri Penjelasan

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah melancarkan logo bagi kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020. Pelancaran yang berlansung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu menampilkan logo bermotifkan burung kenyalang, bunga raya, paku pakis liar dan warna bendera Malaysia.

Namun, mula timbul ura-ura dan dakwaan bahawa logo tersebut sebenarnya diciplak dari rekaan logo yang lain. Justeru, tidak mahu orang ramai terus membuat pelbagai spekulasi, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi telah terpanggil untuk memberi penjelasan mengenai perkara tersebut.

Menurutnya, dakwaan logo Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020 diciplak dan mempunyai kesilapan pada slogannya tidak berasas. Beliau berkata isu berkenaan tidak seharusnya timbul dan pihaknya akan mengekalkan logo tersebut dalam kempen promosi TMM 2020.

“Orang yang mendalami dalam bahasa Inggeris akan tahu apa maksud yang ditulis…mengenai logo diciplak, pereka grafik dapat ijazah kelas pertama dan dapat anugerah, tidak ada ‘copy right’ (hak cipta) dalam isu ini.

“Saya hormati semua pandangan. Tidak ada sebab untuk kita tidak kekalkan logo ini, kita kekalkan sebab kritikan tidak berasas dan bukan kritikan yang bijak, kalau kritikan yang bijak kita lihat dengan baik,” katanya selepas merasmikan Pameran Reproduksi ‘Leonardo Opera Omnia’ di Balai Seni Negara di sini, hari ini.

Isu logo TMM 2020 yang dilancarkan semalam didakwa diciplak dan mempunyai kesilapan susunan perkataan pada slogannya mula tular di media sosial hari ini.

Mengulas mengenai pameran yang mendapat kerjasama daripada negara Itali itu, Mohamaddin berkata ia dapat mengeratkan hubungan dua negara melalui budaya dan lukisan.

“Saya berharap pada masa depan Malaysia dan Itali boleh mengadakan lebih banya projek kebudayaan, mencetuskan lebih banyak aktiviti pelancongan budaya (dan) juga pertukaran diplomasi untuk memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua negara,” katanya.

Sementara itu, Kaunselor di Kedutaan Itali di Kuala Lumpur Silvia Marrara berkata projek itu adalah satu daripada kegiatan diplomasi budaya mereka bagi merapatkan jarak dan memudahkan pemahaman dan pengetahuan mengenai seni lukis dan sains Itali dengan membawanya ke Malaysia.

“Bagi mereka yang tidak mampu untuk berjalan ke seluruh dunia untuk melihat karya-karya asli yang terdapat di pelbagai muzium dan gereja, Itali telah memikirkan bagaimana untuk memberi semua orang peluang untuk mengalaminya di sini,” kata beliau dalam ucapannya.

Pameran berkenaan merupakan sebuah pameran reproduksi berteknologi tinggi yang mampu menaikkan kembali perincian karya-karya 500 tahun Leonardo da Vinci yang semakin pudar.

Melalui pameran tersebut pengunjung berpeluang melihat kesemua 17 karya Leonardo da Vinci yang mula dipamerkan bermula 15 Julai sehingga 15 Ogos di Balai Seni Negara.

Antara karya yang dipamerkan ialah La Gioconda o Mona Lisa, The Last Supper, Madona Benois dan Cecilia Gallerani.

Sumber: BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)