Siakap Keli

Hulu Selangor, Kuala Selangor Dan Gombak Pulih Gangguan Bekalan Air

SHAH ALAM, 24 Julai (Bernama) — Kawasan Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Gombak yang mengalami gangguan bekalan air ekoran pencemaran diesel di Sungai Selangor telah pulih sepenuhnya setakat pukul 6 pagi tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata bagaimanapun, proses pemulihan di keseluruhan kawasan yang masih mengalami gangguan bekalan air pula mencapai tahap 96 peratus.

“Pemulihan gangguan bekalan air di kawasan Klang/Shah Alam mencapai tahap 94 peratus; Kuala Lumpur (99 peratus); Petaling (96 peratus) dan Kuala Langat (97 peratus).

“Kami sentiasa memantau proses ini dan sedang berusaha untuk mempercepatkan pemulihan secara keseluruhan di kawasan terjejas yang disasar pulih sepenuhnya pada pukul 9 pagi Sabtu ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Raof berkata lori-lori tangki masih digerakkan ke kawasan terjejas dan pengguna di lokasi yang telah pulih gangguan bekalan diminta supaya menggunakan air dengan berhemah.

Tambah beliau, pengguna juga boleh mendapatkan maklumat dan status terkini gangguan bekalan air melalui aplikasi ‘Air Selangor’ pada telefon pintar atau menerusi laman sesawang www.syabas.com.my, Facebook ‘Air Selangor’ dan Twitter @air_selangor.

Pada Ahad lepas, pencemaran diesel di Sungai Selangor mengakibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 serta LRA Rantau Panjang dekat sini terpaksa dihenti tugas yang mana menyebabkan gangguan bekalan air terhadap 1,191,942 akaun pelanggan di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa