Siakap Keli
Gambar: Bernama/Bloemfontein Courant

Prosiding Inkues Adib Ditutup Hari Ini

SHAH ALAM, 24 Julai (Bernama) – – Prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, ditutup hari ini selepas tiada lagi saksi yang akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes itu.

Koroner Rofiah Mohamad berkata, mahkamah telah berpuas hati dengan semua keterangan daripada saksi yang di panggil sebelum ini.

“Setelah meneliti keterangan sedia ada, mahkamah tidak akan memanggil saksi lain,” katanya ketika membaca keputusan untuk menutup prosiding itu, di sini.

Mahkamah koroner bagaimanapun belum menetapkan tarikh keputusan inkues berkenaan.

Dalam prosiding hari ini, Rofiah turut membenarkan pihak berkepentingan untuk mengemukakan hujahan bertulis.

Katanya, hujahan berkenaan perlu dikemukakan kepada mahkamah sebelum atau pada 21 Ogos depan.

Sehubungan itu, hanya keluarga Muhammad Adib yang bercadang memasukkan hujahan bertulis tersebut.

Prosiding inkues bagi mencari punca kematian Muhammad Adib telah diadakan selama 41 hari bermula 11 Februari lepas.

Sepanjang prosiding itu, seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dipanggil selain 137 eksibit dikemukakan.

Antara yang dipanggil ialah Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi dan Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lepas di Institut Jantung Negara.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.