Siakap Keli

KPDNHEP Rampas 108 Paket Gula-Gula Berasap Di Kulim

Alor Setar : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kulim merampas sejumlah 108 paket berisi ‘gula-gula berasap’ atau ‘ghost smoke’ di sebuah premis di Pekan Mahang, Kulim, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Daerah Kulim, Mohd Fazly Edros berkata rampasan itu adalah hasil pemeriksaan di beberapa premis runcit dan borong sekitar Kulim yang bermula pada 9.30 pagi.

“Kesemua 108 paket gula-gula berasap jenama ghost smoke yang ditemui di dalam empat kotak berasingan itu dianggarkan bernilai sejumlah RM54,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, gula-gula tersebut telah disita untuk siasatan lanjut dan pemilik premis telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5(1) Akta Perihal Dagangan 2011, Larangan perihal dagangan palsu.

Mohd Fazly berkata peniaga juga dinasihatkan supaya tidak menjual dan menyimpan gula-gula kerana ia dikhuatiri boleh mendedahkan pelajar kepada gejala-gejala negatif memandangkan gula-gula tersebut berfungsi seakan-akan rokok.

Satu video mengenai kanak-kanak yang menghisap gula-gula berasap sambil mengeluarkan asap  seakan vape itu kini tular di laman sosial dan gejala itu telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.