Siakap Keli
Kredit: Fox 8

Rugi Ribuan Ringgit, Diperdaya Penjenayah Menyamar Sebagai Rakan

KUANTAN, 25 Julai (Bernama) — Seorang lelaki mendakwa mengalami kerugian bernilai RM9,500 setelah ditipu individu yang menyamar menjadi rakannya untuk meminjam wang.

Mangsa yang berusia 53 tahun mendakwa, suspek mengaku sebagai ‘Gan’, nama yang sama dengan rakannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa dihubungi suspek pada petang Selasa lepas.

“Suspek memberitahu sudah menukar nombor telefon hanya berbual kosong sebelum kembali menghubungi mangsa pada tengah hari semalam untuk meminjam wang.

“Mangsa diminta memasukkan wang ke dalam akaun baharu dan dia tidak mengesyaki apa-apa kerana Gan sering meminjam wang dan membayar semula,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mangsa dikatakan sedar dari ditipu apabila terserempak dengan rakannya yang sebenar di pekan ketika membeli barang petang semalam dan bertanya mengapa dia tidak membalas mesej berhubung salinan resit transaksi pemindahan wang di aplikasi WeChat.

Menurut mangsa, Gan memaklumkan tidak menerima apa-apa mesej dan tidak menghubungi mangsa beberapa hari sebelum dikatakan menukar nombor telefon.

Berikutan itu, mangsa melaporkan kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran di sini semalam.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.