Siakap Keli
Kredit: Jabatan Perikanan Malaysia (DOF)

(Video) Selepas Paus Pembunuh, Ikan Paus Pilot Sirip Pendek Pula Lawat Perairan Terengganu

Besut, Terengganu- Sekumpulan Paus Pilot Sirip Pendek atau nama saintifiknya Globicephala macrorhynchus telah muncul di perairan berhampiran Pulau Perhentian di sini.

Kemunculan spesies mamalia marin itu yang dipercayai menjadikan Laut China Selatan sebagai sebahagian laluan migrasi telah dirakam oleh nelayan tempatan yang sedang memancing pada 24 Julai lalu di perairan itu.

Kejadian ini disahkan oleh Ketua Cawangan Mamalia Marin, FRI Rantau Abang, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), En. Mohd Tamimi Ali Ahmad.

Video berdurasi 40 saat itu merupakan rekod pertama kemunculan paus tersebut di perairan Terengganu. Menurut DOF, kali terakhir Paus Pilot Sirip terlihat di Malaysia ialah ketika spesies itu ditemui terdampar mati di Sarawak pada tahun 2013 dan Labuan pada 2015.

Spesies ini dianggarkan berukuran 3 hingga 7 meter dengan berat 1 hingga 3 tan bagi dewasa manakala 1 hingga 3 meter dengan berat 60 hingga 500 kilogram bagi anak ikan. Jangka hayat paus ini dijangka antara 40 hingga 45 tahun.

“Paus Pilot Sirip Pendek adalah tersenarai dalam jadual mamalia marin, antara salah satu spesies marin terancam di Malaysia,” kata jurucakap DOF dalam satu kenyataannya hari ini.

“Jabatan Perikanan Malaysia melindungi spesies-spesies ikan marin terancam ini melalui penguatkuasaan Seksyen 27, Akta Perikanan 1985 mengenai Mamalia Akuatik atau Penyu di Perairan Perikanan Malaysia dalam Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Yang Terancam) 1999 (Pindaan) 2019.”

Spesies ini dilindungi di bawah International Union for Conservation of Nature (IUCN) sebagai antara spesies marin terancam di dunia.

DOF turut mengingatkan orang ramai agar melaporkan penemuan spesies marin terancam sama ada masih hidup atau telah mati ke Pejabat Perikanan Daerah atau Pejabat Perikanan Negeri atau Institut Penyelidikan Perikanan terdekat atau FRI Rantau Abang dengan segera.

“Tindakan pantas anda boleh menyelamatkan nyawa spesies marin terancam; sama ada masih hidup, ia boleh dilepaskan segera ke laut lepas, atau jika telah mati ia perlu diuruskan dengan prosedur-prosedur tertentu.”

Sumber: Jabatan Perikanan Malaysia

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.