Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Lelaki Maut Akibat Sakit Jantung Ketika Cuba Keluarkan Ular Sawa Dalam Kereta

Johor Bahru : Seorang lelaki meninggal dunia dipercayai akibat sakit jantung ketika cuba mengeluarkan seekor ular sawa dari dalam keretanya di kawasan sebuah kolej vokasional dekat Batu Pahat, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat Supt Muhammad Izzudin Runggai berkata kejadian berlaku pada 9 malam dan mangsa, Zainal Abidin Daim, 59, dibawa oleh orang awam ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat sebelum disahkan meninggal dunia.

“Polis menerima laporan pengadu iaitu anak perempuan mangsa yang memaklumkan bahawa ayahnya mempunyai masalah kesihatan iaitu mudah sesak nafas tetapi tidak pernah membuat rawatan di hospital. Pengadu tidak pasti sama ada kematian ayahnya berpunca daripada belitan, patukan atau penyakit dialami.

“Daripada keterangan saksi juga tidak nampak jelas yang apa yang berlaku dan cuma menyatakan ular sawa membelit tangan kiri mangsa dan saksi juga cuba membantu mangsa yang dalam keadaan lemah ketika ditemui sebelum menghantar mangsa ke hospital,” katanya.

Muhammad Izzudin berkata hasil bedah siasat kemudian mengesahkan punca kematian Zainal Abidin yang merupakan pemandu di kolej vokasional itu disebabkan oleh ‘hypertensive heart disease’ dan bukan akibat daripada belitan atau patukan ular.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, katanya.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.