Siakap Keli
Sumber : Bernama

Penurunan Had Umur Mengundi Tunjuk Keyakinan Rakyat Terhadap Belia

Kota Bahru : Penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun adalah wajar kerana golongan belia pada usia itu telah matang untuk membuat pilihan kerana arus kemajuan teknologi telah mendedahkan mereka kepada senario politik seluruh dunia.

Mereka berpendapat bahawa langkah itu jelas memperlihatkan  keyakinan kerajaan terhadap golongan belia untuk sama-sama terlibat dalam pembangunan negara.

Pelajar Kolej Vokasional Bachok (KVB) Mohd Hilmie Harif,17, berkata golongan belia pada usia 18 kini  tidak lagi seperti dahulu kerana mereka banyak mempelajari serta membaca mengenai arus politik duinia menerusi ledakan teknologi maklumat.

“Lagipun sudah banyak negara di dunia yang mengamalkannya dan sudah sampai masanya Malaysia dalam pentadbiran kerajaan baharu mengambil pendekatan itu apatah lagi kita sudah menghampiri 2020,” katanya kepada sumber di sini, hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun kerajaan melalui Kementerian Pendidikan perlu menambahbaik sukatan pelajaran kenegaraan sedia ada agar belia lebih memahami dan mendalami konsep bernegara dengan lebih baik.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC) Mohd Syahbudin Hashim berkata pendekatan yang diambil kerajaan itu tepat dan sesuai dengan perkembangan semasa.

“Perubahan ini memberi peluang kepada golongan belia untuk turut sama bertanggungjawab sebagai pemilih namun kita harap golongan ini mendapat lebih pendedahan untuk memahami konsep kenegaraan dan peranan mereka kepada negara,.

“Kita harap peluang ini juga dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan belia memandangkan kelompok ini antara jumlah pengundi paling ramai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti,” katanya.

Mohd Syahbudin berkata beliau yakin pada usia 18 tahun belia sudah cukup matang untuk membuat penilaian sewajarnya dalam menentukan hala tuju negara.

Dalam pada itu, Pengarah Pertubuhan Peradaban Melayu (Peradaban) Kelantan Datuk A Aziz Deraman berkata perubahan undang-undang baharu itu perlu disertai pengisian yang sewajarnya.

“Kerajaan perlu segera mengambil pelbagai pendekatan termasuk kempen memahami konsep bernegara dan kebertanggungjawaban kepada negara.

“Ini bagi memastikan pada usia 18 tahun belia sedar dan benar-benar faham bahawa mereka mempunyai tanggungjawab dan sumbangan besar kepada pembangunan negara kerana masa hadapan negara bergantung kepada mereka,” katanya.

Dewan Rakyat sebelum in meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun, pendaftaran pengundi automatik pada usia 18 tahun, dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun lulus dengan sokongan dua pertiga  Dewan Rakyat pada 16 Julai lepas.

Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dilaporkan telah mengumumkan seramai 211 menyokong usul itu dan tiada ahli Parlimen yang menolaknya dalam undi belah bahagi yang diadakan selepas perbahasan oleh wakil-wakil rakyat pemerintah dan pembangkang.

Jemaah menteri sebelum ini bersetuju untuk menurunkan umur mengundi pada September tahun lepas dan kerajaan juga memasukkan cadangan pembangkang yang mahu warganegara mencecah usia 18 tahun didaftarkan sebagai pengundi secara automatik dan membolehkan warganegara yang berusia 18 tahun bertanding pilihan raya dalam RUU itu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika membentangkan usul itu berkata, dengan penurunan had umur mengundi dan pendaftaran automatik itu, seramai 7.8 juta pengundi baharu akan dimasukkan dalam daftar pemilih setiap tahun sehingga 2023.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.