Siakap Keli
Kredit: BERNAMA

67 Kilang Di Pasir Gudang Dikenal Pasti Beroperasi Tanpa Lesen

JOHOR BAHRU, 29 Julai (Bernama) — Sebanyak 67 kilang di Pasir Gudang setakat ini dikenal pasti beroperasi tanpa lesen dalam operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi susulan insiden muntah-muntah dan sesak nafas berulang di kawasan itu sejak 20 Jun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar, Tan Chen Choon menegaskan operasi seumpama itu akan terus dijalankan sebagai usaha menangani masalah pencemaran di kawasan berkenaan.

“Di Pasir Gudang ini dalam catatan kita ada 67 kilang yang tiada lesen di bawah Majlis Perbandaran Pasir Gudang. Daripada jumlah itu, lapan akan dikenakan tindakan mahkamah, 46 diberi notis peringatan, tiga telah di sita, dua kilang diperintah tutup manakala lapan lagi tindakan akan diambil,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas operasi penguatkuasaan melibatkan empat kilang di kawasan Pasir Gudang hari ini yang turut disertai Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor Wan Abdul Latiff Wan Jaafar.

Operasi disertai pelbagai agensi termasuk JAS, MPPG, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Johor melibatkan 60 anggota secara keseluruhan.

Dalam serbuan hari ini, dua premis didapati mempunyai lesen dan dua lagi tidak mempunyai lesen termasuk sebuah kilang memproses plastik kitar semula yang disita. Ia turut didapati memproses plastik yang diimport dari Ireland dan United Kingdom.

“Tindakan itu (menghantar semula sisa plastik ke negara asal) memang ada dalam perancangan kita, yang mana bila kita kesan tidak patuh, kita akan sekat dan akan dihantar balik. Pemilik premis belum dikenal pasti namun siasatan lanjut akan diteruskan,” kata Tan.

Operasi itu turut menyaksikan 12 pendatang tanpa izin dari Bangladesh, Indonesia dan China ditahan.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.