Kuala Lumpur Metro Group dengan kerjasama Perbadanan Menteri Besar (cabang pelaburan kerajaan Negeri Sembilan) bakal membangunkan sebuah resort baru, iaitu Lexis Hibiscus 2, di Port Dickson.
Upacara menandatangani rasmi yang berlangsung di Lexis Hibiscus pada 27 Julai lepas turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Port Dickson, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Kami amat berbesar hati kerana berpeluang untuk sekali lagi bekerjasama dengan Lexis Hotel Group untuk projek ikonik terbaru ini.
”Berbekalkan kepakaran mereka sebagai syarikat perhotelan terulung dengan pengetahuan pasaran tempatan yang utuh, kami percaya yang Lexis Hotel Group dapat membantu Lexis Hibiscus 2 mencapai kejayaan yang setara dengan Lexis Hibiscus, malah mampu melangkaui Lexis Hibiscus dan menjadi pembangunan rumah atas air yang paling besar di dunia,” kata Ybhg. Dato’ Haji Mat Hassan Esa, Pengerusi Kuala Lumpur Metro Group.
Resort lima bintang yang bakal dibangunkan di sebelah Lexis Hibiscus ini dijangka akan dibuka pada 2024. Projek ini juga bakal mencatatkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM500 juta, dengan 760 vila berkolam renang, termasuk 582 vila atas air dan 178 vila sky pool.
Menurut Mat Hassan lagi, pihaknya menjangkakan Lexis Hibiscus mampu menarik sehingga 400,000 pengunjung ke Port Dickson setiap tahun dengan nilai pulangan kasar RM 240 juta setahun.
Seperti Lexis Hibiscus, setiap villa dan bilik di Lexis Hibiscus 2 juga dirancang mempunyai kolam renang peribadi dengan tahap keselesaan dan tahap privasi tiada tandingan.
Selain itu, pihaknya juga yakin bahawa disepanjang fasa pembinaan Lexis Hibiscus 2, ia akan wujud penambahan sekitar 2000 peluang pekerjaan. Manakala setelah siap pembinaannya, akan wujud penambahan sebanyak 1000 peluang pekerjaan untuk kerja-kerja pengurusan resort tersebut.
Antara kemudahan utama yang disediakan termasuk akuarium tenggelam yang dilengkapi restorannya sendiri — pertama di Malaysia, air pancut berirama, dewan besar — dewan terbesar di Negeri Sembilan yang mampu menampung 2000 orang hadirin, dan Hibiscus Walk — suatu destinasi makanan dan membeli-belah terbuka yang unik, dengan deretan kedai “makanan jalanan” menawarkan citarasa Malaysia yang asli.
Sebelum ini, Lexis Hibiscus merupakan pemegang Guinness World Records bagi kategori kolam renang terbanyak di satu resort dan villa atas air terbanyak. Bagaimanapun rekod-rekod berkenaan bakal diambil alih oleh Lexis Hibiscus 2 apabila resort berkenaan dibuka secara rasmi kelak.