Siakap Keli
Foto: The Sun/CNN

Disimpan Selama Setengah Abad, Lelaki Temui Mayat Bayi Dalam Peti Ais Ibu

Seorang lelaki berusia 37 tahun dari Missouti, Amerika telah mengalami satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila menjumpai mayat seorang bayi dalam peti ais milik ibunya.

Pertemuan itu berlaku pada 27 Julai yang lalu, ketika dia membersihkan kediaman ibunya yang telah meninggal dunia baru-baru ini.

Menurut lelaki itu, dia telah tinggal bersama dan menjaga ibunya sepanjang tujuh(7) bulan yang lalu selepas wanita itu disahkan menghidap penyakit kanser hati.

Lelaki itu mendakwa bahawa ibunya telah menyimpan sebuah kotak di dalam peti ais di rumahnya sejak lebih kurang 50 tahun lalu dan sentiasa membawanya jika dia berpindah rumah.

Dia juga memberitahu tidak pernah mendekati kotak tersebut sejak kecil lagi selepas ibunya memberi amaran bahawa tiada siapa boleh menyentuh kotak itu.

Kotak yang didakwa mengandungi mayat bayi. (Foto: CNN)

Disebabkan itu, lelaki tersebut membuat andaian bahawa isi kandungan kotak itu adalah kek perkahwinan atau barang-barang yang mempunyai nilai sentimental tersendiri.

Beberapa hari setelah ibunya meninggal dunia, lelaki itu telah ke rumah mendiang untuk membersihkannya.

Rumah kediaman wanita itu selama 20 tahun. (Foto: kdsk/The Sun)

Ketika dia membuat keputusan untuk membuka kotak itu, lelaki itu memberitahu merasai sesuatu seperti kaki bayi sebelum menarik keluar bayi tersebut.

“Saya dapat lihat kepala bayi itu dengan rambutnya yang masih melekat rapi”,kata lelaki berkenaan.

Dia kemudiannya menghubungi pihak berkuasa dan mereka akan menjalankan siasatan ke atas ibunya.

Lelaki itu tidak menolak kemungkinan bahawa bayi itu mungkin kakaknya kerana dia teringat yang ibunya pernah memberitahu dia pernah kehilangan seorang anak semasa kelahiran.

Malah, lelaki itu turut mendakwa pernah mendengar dari saudaranya yang ibunya pernah melahirkan pasangan kembar.

Menurut kisah mereka, seorang daripada kembar itu meninggal dunia dan seorang lagi diberikan kepada pusat penjagaan anak yatim.

Dia mengharapkan agar mendapat jawapan mengenai kejadian itu dan status bayi tersebut, walaupun mengakui ia agak sukar kerana ibunya sudah meninggal dunia.

Sumber: The Sun

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi