Siakap Keli
Foto: National Post

Memang Ramai Yang Takut, Tapi Ini Akan Jadi Sekiranya Semua Lipas Di Dunia Mati

Jika ditanya kepada semua manusia di muka Bumi ini tentang lima serangga yang paling ditakuti, pasti lipas akan termasuk dalam senarai yang diberikan oleh sebahagian besar daripada mereka.

Walaupun ia secara amnya tidak boleh menyakiti kita secara fizikal, entah mengapa ramai di antara kita takut akan binatang berkaki enam ini.

“Kalau aku ada kuasa macam Thanos tu, aku tak nak lenyapkan manusia, tapi aku nak lenyapkan semua lipas,” itu salah satu gurauan yang pernah dikatakan oleh seorang rakan kepada saya.

Begitulah ‘bencinya’ kita terhadap spesis serangga ini. Namun, bagaimana pula sekiranya semua lipas ini benar-benar lenyap dari muka Bumi ini?

Adakah kita akan lebih tenang dan ekosistem akan dapat berjalan seperti biasa?

Ketahuilah, tanpa lipas, hidup manusia dan beberapa spesis haiwan lain akan terkesan secara negatif.

Tikus, cicak dan MANUSIA akan hilang sumber makanan

Ya, percaya atau tidak, menurut Prof. Srini Kambhampati, Ketua Jabatan Biologi di Universiti Texas, ada di kalangan manusia di dunia ini yang menjadikan lipas sebagai makanan mereka.

Malah, ada juga spesis tikus dan cicak yang memakan lipas untuk meneruskan hidup.

Foto: Quora

Walau bagaimanapun ia tidak memberikan ancaman kepupusan kepada dua golongan ini kerana mereka masih lagi mempunyai sumber makanan lain.

Tebuan parasit hilang tempat bergantung

Berbeza dengan manusia dan tikus, tebuan parasit bergantung hidup dengan lipas. Spesis ini akan memparasitkan telur-telur lipas untuk terus hidup.

Foto: Scientific American

“Maka, tanpa adanya spesis lipas di dunia ini, sudah pasti tebuan parasit ini juga akan pupus,” kata Prof. Kambhampati.

Ekosistem akan menjadi semakin tidak seimbang

Secara mudahnya, ketiadaan lipas tidak akan memberi kesan mendadak terhadap manusia, namun tidak bagi spesis-spesis lain.

Ini kerana kebanyakan spesis burung dan katak menjadikan serangga seperti lipas sebagai salah satu punca makanan makanan mereka.

Foto: Courier Mail

Walaupun ia tidak boleh membuatkan mereka pupus, tetapi jumlah mereka pasti akan berkurangan.

Dalam contoh mudah, bayangkan jika katak berkurangan akibat kepupusan lipas, jumlah ular yang memakan katak pasti akan berkurangan begitu juga dengan pemangsa ular seperti burung helang.

Hidupan di dalam hutan turut akan terkesan

Sebenarnya, majoriti daripada spesis lipas ini hidup di dalam hutan. Mereka menjadikan kayu dan daun yang memerangkap nitrogen sebagai sumber makanan.

Foto: NY Times

Apabila mereka mengeluarkan najis, najis lipas ini akan terjatuh ke tanah sekaligus membolehkan nitrogen yang dimakan tadi kembali bercampur dengan tanah.

Nitrogen ini sangat penting untuk tumbesaran pokok, maka kepentingan lipas dalam ekosistem dalam hutan tidak dapat disangkal lagi.

Pokok-pokok di hutan pula adalah terlalu bernilai kepada manusia kerana di situlah terletaknya sebahagian besar daripada sumber oksigen yang kita perlukan untuk terus bernafas.

Jadi kesimpulannya, ketahuilah, sebenci mana pun kita kepada lipas-lipas ini, ia juga berjasa kepada kita.

Tak salah untuk membunuh lipas di dalam rumah, tapi kalau kita pergi mendaki gunung atau berkhemah di dalam hutan, jangan pula kita ‘gigih’ membawa racun serangga dan bunuh lipas-lipas di sana pula ya.

Sumber: LiveScience, Science ABC

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi