Siakap Keli
Gambar: Cik Puan Reen

“Tak Sangka Hanya Sempat Mandikan Hakim Untuk Mandi Jenazah,” Luahan Hati Ibu Anak 53 Hari Pergi Selamanya

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Tiada ibu bapa sanggup melihat anak menderita. “Andai boleh aku gantikan tempatnya, pasti aku lakukan supaya dia tidak sakit lagi” inilah kata-kata yang sering terpacul di bibir ibu bapa yang mempunyai anak kecil yang sedang sakit.

Sesungguhnya, kesakitan ibu bapa yang kehilangan anak tidak dapat digambarkan kata-kata. Inilah yang dialami Cik Puan Reen yang kehilangan anak syurganya setelah 53 hari mencipta kenangan bersama.

Al-Fatihah.
Muhammad Hakim bin Muzri
30.5.19 – 21.7.19

Mama coretkan di sini utk kenangan kita.
Hakim anak mama dan daddy…

11 Julai 19

Kami bawa Hakim ke Hospital Putrajaya selepas tengok dia ada sentakan sebelah kiri badan. Sebelum tu dia menangis teruk dan kami juga ke Darussyifa. Di Hospital Putrajaya, keputusan CT scan tunjukkan ada pendarahan di kepala. Hakim disahkan IVH.

Doktor nasihat dan beritahu kena rujuk ke Hospital Kuala Lumpur sebab Hospital Putrajaya tiada pakar saraf untuk bayi, tapi keadaan bergantung kepada kekosongan ICU di HKL.

Malam tu anak mama dimasukkan ke wad di Hospital Putrajaya. Hanya Allah yang tahu perasaan kami betapa sedih masa tu. Mama belum habis pantang.

“Mama dan daddy botakkan Hakim.” (Gambar: Cik Puan Reen)

12 Julai 19

Happy birthday Daddy. Tapi mama terlupa sangat sebab terlalu risaukan Hakim. Harini hari ke-44 pantang tapi mama sangat tak berdaya. Harini, Hakim dibawa naik ambulan ke HKL. Alhamdulillah ada kekosongan ICU dan pembedahan akan dilakukan segera.

Di zon merah HKL, doktor beritahu mengenai pembedahan EVD dan semua kemungkinan semasa pembedahan. Kami teruskan untuk kebaikan Hakim. Dalam jam 12 p.m., pembedahan EVD dilakukan.

Mama penat dan badan terlalu sakit mungkin sebab kurang rehat dalam pantang. Mama terjatuh dlm surau sementara tunggu pembedahan Hakim tapi takpe sebab selepas dua jam alhamdulillah Hakim stabil dan dimasukkan ke wad PHDW di Jabatan Pediatrik.

Hakim kuat sangat sebab lepas bedah terus boleh hisap susu botol.

13 Julai 19

Keadaan Hakim stabil tapi tak nak hisap susu harini. Mungkin sebab sakit. Mama pujuk-pujuk dan Hakim minum jugak. Hakim baik dan dengar cakap. Bila nak nangis, mama pujuk dan Hakim terus diam.

14 Julai 19

Oleh sebab Hakim dah stabil, Hakim dipindahkan ke Wad Neurosurgeri N6B katil 2E. Nurse letak Hakim depan diorang sebab keadaan Hakim masih bayi, consider kritikal. Daddy temankan Hakim sebab mama sakit badan dan balik berurut.

15 Julai 19

Harini Hakim tarik cabut tiub susu dan ubat kat hidung. Tapi mama tak risau sebab Hakim pandai makan ubat dan dah boleh minum susu. Dan mama percaya Daddy jaga Hakim.

16 Julai 19

Mama, Daddy teman Hakim tidur. Mama tak kisah kita bertiga berhimpit tidur atas katil single hospital ni asalkan anak mama cepat sembuh. Mama beli susu terbaik untuk Hakim. Stok lampin pun mama beli sebab Daddy kata Hakim macam lama lagi kat situ. Mama beli jugak baju baru untuk Hakim.

Gambar: Cik Puan Reen

17 Julai 19

Hidup mama dan daddy macam dah sebati kat sini. Mama jadi sedikit kuat bila tengok ada yang lagi teruk sakitnya dari Hakim. Mama tenang bila berbual dengan auntie Safira. Anaknya kena kanser otak.

Mama doakan Al-Alif anak auntie Safira dan uncle Asri terus kuat berjuang melawan kanser. Kawan-kawan lain pun sama.. auntie Lily, Siti, Aina.. Masing-masing dengan sakit anak masing-masing. Kami beri sokongan satu sama lain masa dalam wad.

18 Julai 19

Hari-hari pakar saraf, Mr Azmi dan pasukan doktor saraf yang lain tengok Hakim. Doktor kata minggu depan nak buat MRA untuk cek salur darah sebab pendarahan tu tak tahu apa puncanya sebab Hakim tak pernah jatuh dan tak tidur buai pun. Nak cek juga takut ada darah tak normal. Harini Hakim ada leaking di kepala tempat EVD. Tapi doktor dan nurse bantu untuk cek sentiasa dan cuci.

19 Julai 19

Hakim panggil mama, mama. Daddy dengar Hakim panggil Mama. Bila nangis Hakim merengek Ma…Ma..Mama…

Mama happy sangat. Hakim berbual dengan mama macam nak cerita sesuatu. Bila mama panggil pun Hakim menyahut.

20 Julai 19

Pagi ni Hakim okay cuma Hakim asyik muntah susu. Dah burp kan muntah atas bahu mama. Hakim tidur mengiring sendiri macam menahan sakit. Nurse tukar tiub baru. Leaking berhenti kejap tapi cecair dan darah makin banyak keluar dan tak ikut anggaran doktor. Mama jadi risau sebab Hakim macam merengek sakit.

Jam 11 malam Hakim menangis kuat sangat macam terlalu sakit. Hakim tunjuk simptom sama macam mula-mula sebelum ke Hospital Putrajaya dulu.

Mama takut sangat. Semua nurse kerumun Hakim sebab Hakim macam kena sawan. Mama tak kuat sebab kesian tengok Hakim. Doktor on call datang dan decide CT scan untuk Hakim.

21 Julai 19

Jam 1 pagi nurse berkejar bawak Hakim untuk CT scan. Daddy pimpin tangan mama kita sama-sama berkejar untuk pergi CT scan kepala Hakim. Tumit kaki mama sakit sangat tapi mama gagahkan diri ikut nurse bergegas bawak Hakim pergi scan. Balik dari scan Hakim tak tidur. Mama dan daddy sama2 tengok Hakim sebab Hakim demam on off.

Gambar: Cik Puan Reen

Jam 4 pagi, doktor panggil mama dan daddy. Doktor saraf beritahu pasal keputusan CT scan tadi. Katanya, pendarahan yang lama dah hampir clear tapi ada pendarahan baru sebelah kanan yang tak tahu apa puncanya.

Pendarahan baru tu dah himpit otak. Pembedahan segera perlu dilakukan. Pembedahan kali ni lebih besar sebab makan masa 4 hingga 5 jam.

Doktor bedah perlu buka tengkorak sebab darah di kawasan tisu di bawah tengkorak kanan. Mama dan daddy setuju untuk pembedahan.

Jam 6 pagi doktor masukkan darah dua pek sebab haemoglobin (Hb) Hakim terlalu rendah. Risiko pendarahan tinggi kalau Hb tak sampai 10 sedangkan bacaan Hb Hakim 6 saja. 4 jam mama dan daddy tunggu Hakim dimasukkan darah.

Hakim darah O sama mcm daddy. Kali ni mama rasa dalam solat Subuh mama macam serba tak kena. Mungkin sebab mama terlalu risau. Pagi ni kita ambil gambar sama-sama bertiga. Detik ni mama dan daddy gembira sangat. Tapi dalam hati hanya Tuhan saja yang tahu sebab pembedahan kali ni lebih berisiko.

Jam 10 pagi ambulan hantar Hakim ke Jabatan Pediatrik semula untuk pembedahan di Dewan Bedah Pediatrik. Mama dan Daddy sama-sama dengan Hakim. Mama teman Hakim sekejap dalam bilik bedah masa Hakim kena bius. Mancung hidung Hakim Doktor bius kata. Hakim hensem comel kata Doktor.

Mama rasa kuat sekejap tengok team bedah yang sangat positif. Mama cium Hakim dan mama keluar dari dewan bedah (OT).

Mama tak sangka ni kali terakhir mama cium Hakim dalam suara tangisan Hakim.

Gambar: Cik Puan Reen

10.45 pagi… pembedahan dijalankan. Mama dan daddy tunggu Hakim. Mama dan daddy berehat kat surau sementara tunggu Hakim.

Masa waktu Zohor mama resah sangat. Mama baca Yasin tapi hati mama gelisah. Tiba-tiba daddy laung panggil nama mama dari luar surau. Rupanya doktor bedah cari kami. Mama silent telefon sebab solat Zohor.

Mama tak dengar. Kami diminta tunggu di dalam kawasan dewan bedah. Tak lama kemudian 4 orang doktor bedah keluar. Mama dan daddy rasa tak sedap hati. Doktor beritahu masa pembedahan mula-mula semua ok, sampailah masa tengkorak dah dibuka untuk keluarkan darah di kawasan tisu, tiba-tiba darah keluar banyak.

Doktor tunjuk gambar tu. Allahu. Kasihan anak mama. Masa tu kata doktor kata tekanan darah Hakim dah tak dapat dibaca. Nadi Hakim terhenti sampai team Doktor bagi emergency CPR.

Pembedahan tak dapat diteruskan lagi sebab darah terlalu banyak dan doc terpaksa jahit semula. Doc beri ubat dan Hakim hanya bergantung hidup pada ubat tu dan oksigen.

Habis kesan ubat bermaksud Hakim selamanya tinggalkan mama dan daddy. Doktor akan bawa Hakim ke ICU dan kami panggil ahli keluarga. Ini menjawab semua keresahan hati mama.

Ya Allah… kuatkanlah mama dan daddy.. Jam 3 p.m. Hakim dibawa ke ICU. Kesian anak mama. Kepala Hakim penuh berjahit. Family datang dan tengok Hakim. Adik beradik Hakim.. Kakak Aleesya, Kakak Lala, Iman dan Aisya datang tengok Hakim. Kesan ubat mulai habis.. mama pangku Hakim sampai habis nafas Hakim.

7.15 mlm.. Innalillahiwainnailaihirojiun.
Hakim dijemput Ilahi. Berat hati mama dan daddy tapi mama redha lepaskan Hakim. Sebab kematian yang doktor tulis ‘spontaneous non traumatic right acute subdural hemorrhage‘.. Mama dan daddy redha sayang. Berat hati mama dan daddy melangkah masuk semula ke wad neuro untuk ambil barang kita semua.

Susu, lampin dan baju baru mama sedekahkan untuk baby di wad tu. Tak kuat hati mama untuk hadap semua barang-barang Hakim.

Pagi jam 7 pagi.. Mama dan daddy mandikan Hakim di surau di HKL. Sepanjang pantang memang Daddy dan Tok yang mandikan Hakim. Mama belum sempat mandikan Hakim lagi.

Tak sangka mama hanya sempat mandikan Hakim untuk mandi jenazah. Ya Allah sedih Tuhan sahaja yang tahu. Tapi mama cuba untuk tahan air mata masa mandikan Hakim. Mama dan daddy sabunkan Hakim dan jirus Hakim wangi-wangi.

Gambar: Cik Puan Reen

Terima kasih ya Allah pinjamkan amanah ini selama 53 hari. Kami semua bersyukur dan gembira dgn kehadiran Hakim walaupun sekejap. Terima kasih pada semua family dan sahabat-sahabat yang sama-sama mendoakan Hakim.

Terima kasih juga kerana banyak membantu selama ini. Terima kasih kepada para doktor dan jururawat di Hospital Putrajaya, Jabatan Pediatrik HKL dan juga wad Neurosurgeri 6B Institut Kajisaraf Tunku Abdul Rahman HKL.

Terima kasih pada semua yang datang ziarah Hakim masa di wad hospital, di masjid UPM dan tanah perkuburan UPM tempat Hakim disemadikan.

InsyaAllah Hakim anak syurga mama dan daddy. Mama halalkan setiap titik susu mama untuk Hakim. Takpe nak, mama dan daddy redha andai ini yang terbaik untuk Hakim. Hakim mesti tengah gembira bermain-main di syurga.

Mama dan daddy akan terus doakan Hakim. Mama masih terasa sejuknya nafas dan kulit Hakim dalam pangkuan mama sebelum Hakim dijemput Ilahi.

Hakim anakku sayang.. Tunggu mama dan daddy ya sayang. Mama dan daddy sayang Hakim selamanya.

Al-Fatihah utk anakku sayang…
Muhammad Hakim Bin Muzri
30.5.19 – 21.7.19 (53hari)

Semoga Puan Reen sekeluarga diberi kemudahan dan kekuatan untuk menghadapi hari-hari mendatang. Al-Fatihah buat anak syurga, Muhammad Hakim b. Muzri.

Sumber: Cik Puan Reen

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.