Siakap Keli
fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Malaysia Mula Dilanda Jerebu

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) — Orang ramai di pantai barat Semenanjung Malaysia dan Sarawak mula berhadapan dengan masalah jerebu hari ini susulan kebakaran hutan di enam wilayah di Indonesia.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Jailan Simon berkata kebakaran hutan itu memberi kesan kepada cuaca di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Putrajaya manakala kawasan terbabit di Sarawak meliputi Kuching, Serian dan Samarahan.

“Setakat ini 30 hingga 40 titik panas dikesan di Sumatera jadi jerebu berada pada tahap sederhana tetapi kami akan terus memantau jika terdapat lebih 100 titik panas.

“Bulan ini kami meramalkan cuaca kering dan jerebu dijangka berterusan hingga lima hari. Orang ramai dinasihatkan supaya kurangkan aktiviti luar dan elakkan daripada melakukan pembakaran terbuka,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Kebakaran hutan di Indonesia itu dikesan di Riau, Sumatera Selatan, Jambi, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.

Jailan menambah, pihaknya juga bekerjasama dengan kerajaan Indonesia menerusi Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) bagi mendapatkan maklumat terkini dan berharap kebakaran hutan dapat dikawal dengan segera.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat 12 tengah hari tadi, dua kawasan berada pada tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu Rompin mencatatkan IPU 104 manakala kawasan di Johan Setia, Klang, mencatatkan IPU 107.

Sebanyak 62 kawasan dilanda jerebu tahap sederhana.

Sumber: BERNAMA

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi