Siakap Keli

PDRM Tawar Diskaun Untuk Bayar Saman Trafik Sempena Bulan Kemerdekaan

Ogos sememangnya disinonimkan dengan peristiwa bersejarah negara, bulan keramat di mana negara kita menyambut kemerdekaan. Seiring dengan kemerdekaan ke-62 tahun, keamanan dapat terus dikekalkan dan masyarakat hidup dengan penuh harmoni, memegang nilai integriti serta memiliki jati diri tinggi.

Ini bertepatan dengan tema hari Hari Kebangsaan tahun ini iaitu ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’  untuk menekankan kepentingan perpaduan serta memupuk semangat cintakan negara.

Bukan hanya itu, bersempena  dengan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menawarkan potongan sehingga 50 peratus merangkumi pelbagai jenis saman trafik yang layak mendapat pengurangan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Afzanizar Ahmad berkata untuk itu, enam kaunter disediakan bagi orang ramai membuat semakan dan bayaran saman yang dibuka mulai pukul 8 pagi hingga 6 petang, pada 3 dan 4 Ogos di Dataran Pahlawan, lokasi pelancaran itu.

“Kebiasaannya program ini mendapat sambutan. Oleh itu, orang ramai termasuk pengunjung dari luar Melaka yang mempunyai saman tertunggak boleh mengambil peluang ini untuk membayar saman masing-masing.

“Namun, terdapat beberapa jenis saman iaitu saman kemalangan, saman berstatus NC (No Compoundable), saman berstatus waran tahun semasa, saman dalam perbicaraan, saman Op Selamat tahun semasa tidak layak mendapat diskaun ini,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam temu bual bersama MelakaFM mengenai majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019, di sini.

Afzanizar berkata PDRM yang turut terlibat sebagai pempamer sempena majlis pelancaran tersebut, mempelawa orang ramai termasuk suri rumah mendaftar sebagai Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dan Skuad Aman Wanita (Amanita) pada hari berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata tiada penutupan jalan-jalan utama dilakukan pada Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 yang akan disempurnakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Sabtu ini.

“Bagaimanapun penutupan jalan dilakukan secara berperingkat hanya melibatkan sebahagian Jalan Parameswara berhampiran pentas utama ketika acara itu bagi memberi laluan masuk kereta-kereta tetamu kehormat dan pelepasan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019.

“Bagi acara Larian Merdeka pada Sabtu ini yang melibatkan acara larian jarak sederhana iaitu 3.8 kilometer, penutupan jalan dilakukan secara berperingkat mulai 7 pagi di depan Dataran Pahlawan dan beberapa jalan lain di sekitarnya dan dijangka dibuka sepenuhnya selewat-lewatnya pada tengah hari,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)