Siakap Keli

“Dia Hempas, Cekik Dan Pukul Anak Anjing Guna Kayu”, Netizen Berang Perilaku Kejam Lelaki Dalam Video Tular

Semalam, tersebar video di mana memaparkan tindakan seorang lelaki yang dilihat menghempas, memukul dan mencekik dua ekor anak anjing berusia dua bulan dipercayai berlaku Kampung Gombak Utara, Batu 11, Gombak, Selangor.

Menurut saksi yang merakam kejadian tersebut, anak anjing berkenaan dipukul dengan kayu, dicekik dan dihempas menyebabkan dua ekor anak anjing tersebut mati di tempat kejadian.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 10.30 pagi itu telah berjaya dirakam oleh seorang wanita, yang berkongsi video tersebut di dalam media sosial.

Dalam video itu, seorang lelaki berusia lingkungan 30 tahun dilihat mengangkat seekor anak anjing sebelum menghempasnya ke tanah.

Ibu anjing menyalak untuk cuba menyelamatkan anaknya namun usaha haiwan tersebut gagal.

Anak anjing itu kemudiannya dimasukkan ke dalam plastik sebelum dipukul dengan kayu panjang.

Suspek memukul anjing di dalam plastik oren.

Saksi berkata, hanya dua ekor anak anjing berjaya diselamatkan manakala bangkai dua ekor anak anjing lagi tidak diberikan oleh pelaku.

Kredit: Wan Zunira

Menurut Animal Malaysia, saksi yang cuba meleraikan kejadian turut diancam pelaku, menyebabkan mereka tidak dapat menyelamatkan haiwan berkenaan kerana tindakan pelaku yang terlalu ganas.

“Saksi yang meleraikan kejadian juga turut mahu diserang dan mendakwa dua ekor anak anjing yang dipercayai mati selepas dizalimi dibungkus dalam plastik oleh pelaku untuk dibuang. Saksi yang meleraikan meminta agar bangkai dua anak anjing diserahkan namun tidak diendahkan pelaku sehingga kini.

“Saksi yang juga penduduk kampung yang sama dan jiran pelaku tersebut sempat bertekak dengan pelaku dan tidak dapat membantu menyelamatkan nyawa anak-anak anjing yang terlibat memandangkan pelaku bertindak terlalu ganas.”

Kami tidak dapat memuatnaik video berkenaan kerana terlalu kejam, untuk lihat boleh ke FB Wan Zunira.

Berikutan itu, saksi telah melaporkan kejadian ini kepada polis dengan bantuan Animal Malaysia.

Manusia, ‘binatang’ paling kejam

Orang ramai yang menyaksikan sebarang kezaliman terhadap haiwan diminta untuk melaporkan kepada pihak berkuasa atau hubungi Animal Malaysia untuk mendapatkan bantuan sekiranya tidak memahami prosedur undang-undang.

Sumber: Wan Zunira, Animal Malaysia

Amira

Love yourself.