Siakap Keli

Polis Dedah Punca Kemalangan Ambulans, Pemandu Dan Pesakit Maut

Pagi tadi kita dikejutkan dengan perkhabaran duka di mana seorang pemandu ambulans dan pesakit wanita maut selepas terlibat dalam kemalangan di Km 368.4 Lebuhraya Utara Selatan di Slim River.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 6.42 pagi tadi.

Sebentar tadi dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Muallim Supt Wan Kamarul Azran Wan Yusof mengatakan bahawa siasatan awal mendapati tayar belakang kanan van ambulans yang dalam perjalanan daripada Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini menghala ke Hospital Slim River berkenaan disyaki pecah menyebabkannya terbabas lalu melanggar penghadang tepi jalan dan terbalik di lokasi kemalangan.

Beliau turut menambah bahawa pihaknya menerima maklumat mengenai pemandu yang maut dikenali sebagai Mohd Hafidz Mohd Bahari, 37, dan pesakit wanita yang meninggal dunia Azizah Dolah, 66, yang beralamat di Sungkai pada pukul 7 pagi.

Wan Kamarul Azran berkata pemandu itu mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pesakit berkenaan meninggal dunia disebabkan peralatan bantuan pernafasan tercabut akibat kemalangan tersebut.

Beliau berkata kejadian berlaku di jalan bertar, lurus dan dua lorong dua hala di Lebuhraya Utara Selatan arah selatan.

Katanya tiga lagi mangsa terlibat merupakan seorang doktor Ainaa Athirah Abdullah, 29 dan jururawat Nur Aliesa Hashim, 28, yang tidak mengalami kecederaan serta pembantu pegawai kesihatan Hairuazani Khairuddin, 40, yang mengalami kecederaan.

Beliau berkata bedah siasat dijalankan di Hospital Slim River dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)