Siakap Keli
Gambar: Bernama

Operasi Mencari Remaja Warga Ireland Hilang: Satu Platun PGA Dikerahkan, Kawasan Resort Dikawal Ketat

SEREMBAN, 5 Ogos (Bernama) — Misi mencari seorang remaja perempuan warga Ireland yang memasuki hari kedua hari ini diteruskan dengan tambahan sebanyak 40 anggota daripada platun Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras.

Ini sekali gus menjadikan jumlah anggota yang terlibat mencari mangsa yang dikenali sebagai Nora Anne Quoirin, 15, yang dilaporkan hilang dari sebuah resort di Seremban semalam, sebanyak 159 anggota.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Che Zakaria Othman berkata selain Polis Diraja Malaysia, operasi berkenaan turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Perhutanan serta masyarakat Orang Asli.

“Dengan penambahan anggota, kita turut memperluaskan kawasan pencarian. Kawasan resort tersebut adalah seluas 1.215 hektar,” katanya pada sidang media di Balai Polis Pantai dekat sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Wan Rukman Wan Hassan dan Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Nor Marzukee Besar.

Sehingga kini katanya, pasukan mencari belum berjaya menjejaki mangsa.

“Operasi mencari dan menyelamat ini dibahagikan kepada dua pasukan yang mana satu pasukan dengan bantuan Orang Asli dan Jabatan Perhutanan memasuki kawasan hutan, manakala satu pasukan lagi di kawasan luar termasuk di sekitar perkampungan dan pekan Pantai.

Gambar: Bernama

“Semalam, kawasan pencarian adalah di sekitar resort ini dan sekarang kita hendak perluaskan lagi kawasan pencarian sehingga kita dapat mengesan mangsa. Setakat ini tiada sebarang petunjuk,” katanya.

Berita kehilangan remaja berkenaan turut disiarkan oleh media antarabangsa.

Kawasan dikawal ketat

Pihak berkuasa termasuk polis dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dilihat mengawal ketat kawasan Resort The Dusun Pantai Hill, lokasi seorang remaja perempuan warga Ireland yang dilaporkan hilang sejak semalam.

Tinjauan Bernama di situ mendapati pihak media juga tidak dibenarkan memasuki resort berkenaan kerana difahamkan ia atas permintaan keluarga mangsa serta faktor keselamatan.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bukan sahaja disertai agensi penguat kuasa malah, orang kampung di kawasan sekitar juga dilihat menyertai operasi SAR hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Nor Marzukee Besar dilaporkan berkata mangsa yang mengalami masalah pembelajaran tiba di Resort The Dusun Pantai Hill Sabtu lepas kerana mengikuti keluarganya bercuti.

Katanya kehilangan remaja itu telah dilaporkan oleh pemilik resort berkenaan pagi semalam selepas dimaklumkan oleh seorang ahli keluarganya mengenai kehilangan remaja tersebut yang disedari tiada di bilik penginapannya pada 8 pagi.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.