Siakap Keli
Gambar Hiasan(Foto: Google)

Pekerja Pusat Cuci Kereta Rentung Dalam Kebakaran

JOHOR BAHRU, 5 Ogos (Bernama) — Seorang pekerja pusat cuci kereta rentung dalam kebakaran di premis itu di Jalan Labis-Segamat, Segamat, hari ini.

Beliau dikenali sebagai Tan Boon Giap, 57, dari Taman Sri Emas, Labis.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis Pegawai Bomba Kanan I Mohd Appandi Khalid berkata lapan anggota bersama dua jentera bergegas ke tempat kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.55 pagi.

“Menurut maklumat yang diperolehi, beliau merupakan penyelia di situ (pusat cuci kereta) dan terperangkap di dalam bilik kontena yang merupakan pejabat pusat cuci berkenaan.

“Para pekerja lain hanya menyedari kejadian apabila asap tebal dan api marak keluar dari kontena itu. Tiada bunyi letupan atau jeritan meminta tolong dari kontena,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mohd Appandi berkata kebakaran menyebabkan kemusnahan 80 peratus daripada keseluruhanan bangunan dan lelaki itu pula ditemui betul-betul hampir dengan pintu keluar pejabat premis berkenaan.

Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya, dan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Sumber: BERNAMA

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.