Siakap Keli
Gambar: Bernama

Ucapan Romantis Agong Zahir Penghargaan Kepada Permaisuri Mencuit Hati

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini mencuit hati jemputan yang hadir pada perasmian ‘Pameran Raja Kita’ apabila bertitah menzahirkan ucapan terima kasih secara peribadi kepada Raja Permaisuri Agong yang bertungkus-lumus menjayakan istiadat pertabalan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Titah Seri Paduka, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah memberikan tumpuan sepenuhnya dan begitu teliti ketika melaksanakan persiapan bagi memastikan semua berjalan lancar.

“Khasnya, secara peribadi Beta ucapkan terima kasih kepada isteri Beta, isteri yang tersayang kerana banyak memberi tumpuan dan fokus untuk persiapan ini dilaksanakan dengan penuh ‘perfection’, begitu teliti dan begitu halusi.

“Beta percaya banyaklah kita peroleh daripada Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri,” titah Sultan Abdullah sebelum menyempurnakan Pameran Raja Kita, di Muzium Diraja, di sini.

Gambar: Bernama

Lebih manis, apabila Seri Paduka turut bertitah memaklumkan hari yang bertuah ini merupakan ulang tahun hari Tunku Azizah diputerikan.

“Beta juga ingin maklumkan di sini, 5 Ogos adalah hari lahir Raja Permaisuri. Sama-samalah kita berdoa supaya isteri Beta ini dipanjangkan umur, pandai memasak, banyak lagi kita boleh belajar daripadanya, berada dalam keadaan sihat walafiat dan mudah-mudahan diberkati Allah SWT,” titah Seri Paduka.

Pada kesempatan itu, Sultan Abdullah turut bertitah menzahirkan penghargaan kepada barisan menteri Kabinet, warga Istana Negara serta semua pihak yang terlibat sepanjang tempoh istiadat pertabalan itu.

“Kesempatan ini, untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad), Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail), seterusnya barisan kabinet, khasnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang bertanggungjawab mengurus segala persiapan, pejabat Perdana Menteri, pejabat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dan juga Istana Negara,” titah Sultan Abdullah.

Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara, disempurnakan pada Selasa lepas di Istana Negara secara gilang-gemilang dan penuh adat Kesultanan Melayu.

Sultan Abdullah kemudian menyempurnakan pameran itu, disusuli dengan pukulan gong sebanyak tiga kali oleh Tunku Azizah.

Sebanyak 198 koleksi peribadi Seri Paduka berdua termasuk barang hantaran dan dokumen pernikahan Seri Paduka Baginda berdua serta alat kebesaran diraja yang dipinjam dari Istana Negara, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Muzium Sultan Abu Bakar, Istana Abdulaziz dan Istana Abu Bakar dipamerkan pada pameran itu.

Sumber: BERNAMA

Arifah

Banyak benda dalam dunia ni berada di luar pengetahuan kita - lalat hinggap atas kepala sendiri pun kita tak tahu.
So, pause & stop judging everyone we don't know. We might only knew 0.1% of their life.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.