Siakap Keli
Gambar Hiasan(Foto: Google)

“Aku Mencintai Orang Lain Tetapi Bukan Suamiku”, Tak Terdaya, Luahan Isteri Ini Bikin Sebak

Kasih sayang dalam berumah tangga adalah sangat penting bagi memastikan apa yang dibina selama ini akan terus kukuh hingga ke akhir hayat.

Namun, kadang kala dalam sedar atau tidak layanan kita terhadap insan yang kita sayang mungkin telah berubah selepas kita mengahwininya berbanding semasa sedang hangat bercinta.

Mungkin itulah yang cuba disampaikan dalam luahan seorang isteri yang telah dikongsikan oleh saudara Akhtar Syamir melalui akaun Facebook-nya baru-baru ini.

Aku mencintai orang lain tetapi bukan suamiku.

Aku rasa sangat berdosa. Bertahun-tahun lamanya aku berkahwin, tetapi semakin lama, semakin aku sedar yang hatiku sebenarnya mencintai orang lain.

Alam perkahwinan telah menipu aku. Aku terpedaya dengan gambaran-gambaran indah yang aku akan melayari bahtera kehidupan bersama orang yang aku cintai. Aku terpesona dengan kisah dongeng pengakhiran yang bahagia. Rupanya tidak sama sekali. Rupanya aku telah tersilap memilih suami.

Insan yang aku cintai sentiasa mengucapkan kata-kata cinta. Aku gembira, aku tersenyum bila bersama dia. Tapi suamiku sering diam membisu. Tiada kata cinta, tiada rasa sayang. Tiada apa-apa perasaan.

Aku mencintai dia yang melayanku dengan lemah lembut. Setiap langkahku dijaga rapi supaya tiada yang menyakiti. Tetapi suamiku sering berkasar dan memukul aku. Aku tidak terdaya melawan.

Aku jatuh cinta pada dia yang selalu memuji kecantikanku. Dari kening, hidung, pipi, bibir, mulut dan daguku, semuanya sempurna bagi dia. Suamiku pula sanggup mengatakan yang muka aku seperti monyet dan hantu. Alangkah hinanya diriku ini. Alangkah sedih dan pilu hatiku ini.

Aku cintakan dia yang suka membawaku keluar ke tempat makan yang kami suka. Tidak seperti suamiku yang sering memarahi apabila aku tidak sempat untuk masak. Bukannya aku sengaja, kadang-kala aku terlalu penat dengan kerja di rumah sehingga terlupa akan masa.

Gambar Hiasan(Foto: ItaliaCuisineCo)

Orang yang sangat aku cinta selalu membantu apabila aku dalam kesusahan. Namun suamiku hanya duduk melihat aku ke sana ke mari membersihkan rumah setiap hari.

Aku terlalu mencintai dia yang berjanji menghabiskan masa bersama dan membuat perkara yang aku suka. Jauh berbeza dengan suamiku yang hanya memberi alasan malas setiap kali aku mengajaknya berbuat sesuatu. Masanya lebih kepada rakan taulan.

Orang yang aku cintai sangat menghormati orang tuaku dan adik beradikku. Suamiku pula tidak mahu memandang langsung keluarga aku malah sentiasa meluahkan keburukan mereka di hadapanku dan belakangku.

Urusan aku sentiasa dipermudahkan orang yang aku cintai. Aku ditemani ke sana-sini. Tetapi dengan suami, walaupun selepas bersalin, aku yang dalam pantang pun masih terpaksa pergi ke klinik sendiri bersama bayi dan anak kecil yang lain. Alasan tiada cuti sentiasa bermain di bibir.

Orang yang aku cintai menerima aku seadanya. Tetapi suamiku sering mengadu yang aku banyak kekurangan yang tidak disukainya.

Aku sering dibantu orang yang aku cintai apabila dalam kesempitan. Tetapi, suamiku tidak sedikit pun memberi aku apa-apa, malah aku yang terpaksa menanggung dia dan keluarga.

Bagaimanakah lagi aku harus hidup dengan suamiku sedangkan hatiku sentiasa mencintai orang lain?

Bukan aku tidak mencuba. Aku menolak segala perasaan tidak baik demi menjaga hatinya dan untuk memelihara hubungan perkahwinan yang telah dibina.

Walau aku tidak salah, aku tetap memujuk. Walau aku tidak meminta, aku sentiasa dikatakan tidak redha. Aku bukan tidak sedia hidup susah bersama suamiku, tetapi suamiku yang tidak mahu hidup bahagia bersamaku.

Aku cuba lupakan orang yang aku cinta. Tetapi semakin lama, semakin dekat ia datang. Aku tidak mampu dan aku tidak berdaya menahan. Tetapi aku juga tidak akan boleh melepaskan diri dari suamiku.

Kerana orang yang aku cintai itu ialah suamiku kini, insan yang sama sebelum berkahwin denganku.

Kenapakah kau berubah sayang? Aku masih teman wanitamu yang dulu. Hari-hari aku menunggu kata cintamu. Hari-hari aku ucapkan I Love You. Hari-hari aku menunggu belai kasihmu. Hari-hari juga kau berpaling dariku. Setiap saat dan ketika aku cuba menunaikan keperluan dan permintaanmu. Setiap saat dan ketika kau menyakiti hatiku.

Semakin lama, semakin kau jauh dariku. Di manakah orang yang aku sayangi dahulu? Siapakah engkau yang telah berkahwin denganku? Aku mencintai orang lain tetapi aku hidup bersama orang lain. Walaupun secara fizikalnya kamu sama, tetapi kamu terlalu jauh berbeza.

Suami. Maafkan aku. Aku mencintai orang lain. Aku mencintai kamu yang dulu.

Aku semakin penat sayangku.

Luahan hati,
Isterimu dan teman wanita yang pernah kamu sayangi.
_____________________________________

Sedarlah sebelum dia berhenti mencuba.

Jemput follow saya 👉Akhtar Syamir. Seperti penulisan ini, saya juga selalu menulis mengenai hubungan suami isteri, kekeluargaan dan isu semasa.

Jom join Supergroup Telegram BroOhsem Fans di mana kita boleh berinteraksi dengan lebih rapat lagi.

▶️ http://t.me/broohsemfans ◀️

Luahan ini juga telah menyentuh hati dan menerima maklum balas daripada netizen yang membacanya di ruangan komen.

Foto: FB Akhtar Syamir
Foto: FB Akhtar Syamir
Foto: FB Akhtar Syamir

Sumber: FB Akhtar Syamir

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.