Siakap Keli
Gambar: Heavy.com

‘Ikan Pendatang’ Jejas Ekosistem, Jabatan Perikanan Keluar Notis Larangan Lepas Ikan Bukan Asli

Kekurangan spesis ikan tempatan di dalam ekosistem perairan kita dilihat berpunca daripada pelbagai faktor. Antaranya, perbuatan tidak bertanggungjawab pihak yang menceroboh habitat ikan dan juga kehadiran ‘ikan pendatang’ dalam ekosistem perairan tempatan.

Ikan pendatang dilihat sebagai spesis ikan yang dilarang dilepaskan ke dalam perairan umum kerana boleh menyebabkan kehidupan spesis ikan yang lain terancam. Perkara ini adalah kerana kebanyakan ikan pendatang boleh menyerang dan menelan spesis-spesis ikan tempatan sehingga boleh menyebabkan kepupusan. Berikutan itu, pihak Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) telah mengeluarkan notis larangan melepaskan ikan bukan asli ke perairan umum.

Kerakusan orang ramai yang membela pelbagai jenis ikan pendatang ini dilihat sebagai perbuatan yang tidak bertanggungjawab. Ikan tersebut kebiasaannya dijadikan ikan perhiasan dan juga sebagai tanda kemegahan seseorang kerana berjaya membela ikan yang jarang ditemui di habitat perairan tempatan.

Walaupun pada awalnya ianya tidak mendatangkan masalah, namun apabila ikan tersebut telah mencapai tahap dewasa, sudah tiada keinginan orang ramai untuk membelanya lalu dilepaskan ke dalam habitat tempatan. Perkara ini disebabkan golongan ini hanya akan membela ikan tersebut semasa kecil kerana tidak akan menjejaskan kehidupan ikan lain yang berada di dalam akuarium yang sama.

Implikasi daripada perbuatan tersebut, habitat perairan umum terjejas kerana ikan pendatang bertindak sebagai pemangsa yang memusnahkan kehidupan ikan-ikan tempatan.

Perbuatan ini secara tidak langsung telah merosakkan ekosistem perairan kita sehingga berlakunya kepupusan kehidupan ikan tempatan. Ikan pendatang seperti Piranha, Trout, Arapaima, Peacock Bass, Flower Horn dan banyak lagi berkebolehan untuk menelan ikan tempatan walaupun mempunyai saiz fizikal yang sama.

Situasi ini dilihat lebih parah apabila terdapat jenis ikan pendatang seperti flower horn yang mampu membiak dengan cepat sehingga dapat memonopoli habitat asal bagi kehidupan ikan tempatan. Ikan jenis ini yang bersifat lasak sudah pastinya akan merosakkan ekosistem perairan tempatan.

Pelbagai rungutan yang telah dizahirkan oleh para pemancing tempatan yang melihat situasi ini merupakan barah kepada kehidupan ikan tempatan. Ianya juga akan mempercepatkan kadar kepupusan ikan tempatan sehingga boleh menyebabkan kerugian kepada generasi akan datang

Selain memberi ancaman kepada kehidupan ikan tempatan, ikan-ikan pendatang ini juga dikenal pasti dapat memberi kesan kepada kesihatan kerana menyumbang kepada bawaan penyakit baru dan punca sebaran serta rebakan penyakit dalam perairan umum.

Sumber: Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Marhaen TV

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Nur Farra