Siakap Keli
Sumber: Facebook

Sering Dibuli Dan Jadi Mangsa Perkauman, Pelajar PhD Malaysia Di Amerika Bunuh Diri

Amerika Syarikat- Seorang pelajar Ijazah Kedoktoran di Universiti Utah memutuskan untuk membunuh diri setelah tidak tahan dibuli rakannya.

“Setiap hari saya takut untuk ke kelas kerana saya duduk tiga kaki daripada pembuli,” mesej pelajar itu kepada kawannya beberapa bulan sebelum membunuh diri menurut tuntutan mahkamah persekutuan yang difailkan oleh keluarga mangsa.

Setelah lapan bulan dibuli secara rasis oleh rakan sekelas, pelajar PhD yang berketurunan Cina-India (Chindian) itu menamatkan riwayatnya pada April 2017.

Berikutan itu, teman lelaki mangsa menyaman Universiti Utah, Ketua Jabatan Psikologi, beberapa profesor dan pelajar sekelas mangsa.

Aduan 91 muka surat

Aduan setebal 91 muka surat tersebut mendakwa terdapat kecuaian, penekanan emosi yang disengajakan ke atas mangsa dan pengabaian pihak universiti terhadap kes buli berkenaan walaupun mangsa telah melaporkan perkara itu beberapa kali kepada profesor dan ketua jabatan.

Mangsa sebelum ini telah menghabiskan pembelajaran Ijazah Sarjana di Universiti Minnesota dalam bidang psikologi klinikal sebelum mendaftar masuk ke program Ijazah Kedoktoran Psikologi di Universiti Utah pada September 2016.

Kredit: Facebook

Menurut tuntutan itu, jawatankuasa Jabatan Psikologi universiti berkenaan didakwa dengan sengaja membiarkan salah seorang pelajarnya dibuli secara lisan dan didiskriminasi kerana berbeza bangsa dan budaya, membuatkan emosi mangsa tertekan seterusnya mengakibatkannya berputus asa untuk hidup.

Pelajar lain dikatakan menyebarkan khabar angin tentang mangsa dan mempermainkan nama Asianya yang dikatakan pelik.

Dokumen itu turut menyatakan bahawa salah seorang pelajar dikatakan secara berulang kali membuat komen tentang orang Asia termasuk menyatakan bahawa “nama-nama penyelidik Asia sangat pelik” dan “orang Asia hanya ingin memuaskan hati ibu bapa mereka”.

Rakan sekelas mangsa turut memberitahu peguam bahawa pelajar tersebut membuli mangsa setiap hari.

“Situasi semakin teruk”

Dalam perbualan emel antara profesor berkenaan ketegangan antara mangsa dengan salah seorang pembuli, salah seorang berkata, “Situasi semakin teruk.”

“Saya akan tinggalkan makmal ini kerana saya tidak boleh tahan lagi,” kata mangsa kepada rakannya.

Dia tahu saya takut dihantar pulang sejak pilihanraya. Dia tahu saya tiada kuasa di sini kerana saya pelajar asing. Disebabkan itulah dia membuli saya. Saya tidak faham mengapa seorang manusia boleh bertindak begitu kejam,” tulis mangsa kepada rakannya.

Dalam satu tugasan esei, mangsa menulis, “Menghadapi rasisme ketika belajar di peringkat sarjana psikologi memberi saya pengajaran berguna dalam hidup saya: Saya boleh memakai sut yang bagus, tetapi saya tidak akan pernah dapat menanggalkan kulit saya.”

Pada Disember 2016, mangsa bertemu dengan ketua jabatan untuk melaporkan tekanan dihadapinya dan rasa takut kepada sekurang-kurangnya seorang rakan sekelas, namun pihak berkenaan mendakwa isu tersebut merupakan ‘konflik dalam kalangan pelajar’ dan enggan melakukan siasatan ke atas laporan-laporan berkenaan walaupun setelah mangsa membunuh diri.

Berikutan itu, pelajar lain mula menganggap mangsa sebagai seorang yang “sedih”, “suka menyendiri” serta “penat dan tewas.”

Tidak tahan dengan sikap universiti

Dalam tempoh lapan bulan, mangsa dikatakan telah melaporkan kejadian buli terhadapnya kepada sekurang-kurangnya lima jawatankuasa fakulti, pusat kaunseling unniversiti, perwakilan hal ehwal pelajar dan jabatan tindakan afirmatif.

Beberapa hari sebelum membunuh diri, mangsa memberitahu rakannya bahawa dia tidak tahan lagi dengan sikap tidak endah jabatan berkenaan.

“Saya tidak faham kenapa saya tidak penting bagi mereka,” katanya. “Saya tidak rasa ‘hidup’ dan saya tidak mahu hidup ini lagi.”

Kredit: Facebook

Nota terakhir

Pada 22 April 2017, mangsa ditemui mati akibat keracunan karbon monoksida.

“Apabila perkara seperti ini berlaku, orang akan bertanya kenapa. Jadi saya akan ceritakan mengapa,” tulis mangsa.

“Saya hidup dengan kemurungan lebih separuh dari hidup saya. Walaubagaimanapun saya mampu bertahan dari setiap episod depresi. Namun setiap gelombang kesedihan menjadi semakin gelap dan semakin lama.

“Saya mencari talian hayat sehingga saya sedar saya tidak layak untuk hidup.

“Kerana jabatan itu berjaya mengajar saya apa itu kemiskinan, kekejaman, rogol dan kelaparan namun tidak pernah..  Apabila anda abaikan laporan buli tersebut, anda membuatkan saya yakin buat kali terakhir, apa yang saya buat, hakikatnya, tidak penting.”

“Mata biru dan rambut perang yang ‘suci’ dengan mudahnya boleh menafikan tuduhan ‘gila’ si k***t g***p ini,” kata mangsa.

“Melihat jabatan bukan sahaja memilih untuk tidak mengambil tindakan, tetapi memberi anugerah kepada pembuli merupakan titik pengakhiran saya. Hati saya telah hancur.”

“Tolong jadi lebih baik pada masa hadapan,” kata mangsa dalam nota bunuh dirinya.

Jawapan universiti

Jurucakap universiti berkenaan, Amanda DeRito dalam laporan The Daily Beast memberitahu, “Kes bunuh diri ini merupakan peristiwa tragis yang memberi kesan besar terhadap jabatan psikologi dan universiti kami.”

“Kami percaya universiti telah mengambil tindakan terhadap masalah interpersonal dalam kalangan pelajar di jabatan berkenaan,” kata DeRito menyatakan bahawa pihak universiti dengan tegas menyanggah dakwaan ke atas mereka.

Walaubagaimanapun, DeRito menolak untuk memberi sebarang komen lebih lanjut berkenaan kes tersebut merujuk kepada proses undang-undang yang belum selesai.

Dakwaan difailkan ke atas universiti itu menuntut ganti rugi dan pampasan buat keluarga mangsa di Malaysia.

Sumber: The Daily Beast

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.