Siakap Keli

Bayi Perempuan Bertali Pusat Ditinggalkan Depan Pagar Rumah

KUANTAN, 8 Ogos (Bernama) — Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat dan dibalut kain batik ditinggalkan di hadapan sebuah rumah teres di Perumahan Pandan Damai di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata bayi itu ditemui pada 6.15 pagi bersama nota berbunyi: “Assalamualaikum – kak, tolong jaga anak ini. Saya tidak mampu. Tolong ye kak”.

Mohamad Noor berkata bayi itu ditemui pemilik rumah yang merupakan kerani syarikat swasta berusia 30 tahun semasa keluar untuk mengambil beg sekolah anaknya yang tertinggal di dalam kereta.

“Pengadu mendakwa dia melihat bungkusan kain batik berada di hadapan pintu pagar rumahnya lalu memeriksa kandungannya dan ternampak bayi itu, yang dipercayai baru dilahirkan.

“Bayi itu berada dalam keadaan sihat dan tidak mengalami kecederaan. Pengadu terus membawa bayi tersebut ke Balai Polis Jaya Gading untuk membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Mohamad Noor berkata bayi itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk pemeriksaan kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah dimaklumkan mengenai penemuan tersebut.

Orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa