Pengarah Penjara Tapah Kamarudzaman Mamat berkata pelepasan banduan itu pertama kali dilakukan di penjara berkenaan sebagai platform awal supaya masyarakat menerima bekas banduan untuk bersama dalam aktiviti rutin seharian apabila dibebaskan nanti.
“Jabatan Penjara memberi peluang kepada empat banduan yang layak untuk menyambut Aidiladha bersama keluarga melalui PBSL dan ia akan diteruskan terutama pada musim-musim perayaan yang akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan keempat-empat banduan berusia antara 31 dan 60 tahun itu kepada keluarga masing-masing di sini pagi tadi.
Kamarudzaman berkata program melepaskan empat banduan itu berdasarkan dengan syarat-syarat tertentu dan banduan terlibat dikehendaki kembali menjalani hukuman selepas tempoh berkenaan.
Katanya kesemua banduan itu akan diselia pegawai tertentu dan disyaratkan hanya berada di tempat tertentu sepanjang tempoh pelepasan.
Kamarudzaman berkata pelaksanaan program itu adalah tertakluk dalam Seksyen 43 Pelepasan Banduan Secara Berlesen Akta Penjara Malaysia.
“Antara syarat utama untuk mengikuti PBSL adalah persetujuan pihak keluarga, tahap kepulihan banduan, kemajuan banduan dalam Program Pembangunan Insan dan disiplin banduan,” katanya.
Katanya banduan dan keluarga terlibat diharapkan menghargai masa serta peluang yang diberi sebaik mungkin dan menunjukkan kepada masyarakat setempat bahawa mereka mampu berubah dan diterima semula oleh keluarga dan masyarakat.