Siakap Keli
Gambar: We Are The Mighty

Hilang Kaki Tempur Komunis Demi Tewaskan Musuh Negara Selepas Merdeka

MELAKA, 8 Ogos (Bernama) — Kehilangan kaki kanan akibat terkena jerangkap samar ketika bertempur dengan komunis di Gerik, Perak merupakan tragedi hitam dalam hidup Sulaiman Maarof, namun beliau berbangga kerana menjadi antara perajurit yang bertarung nyawa menewaskan musuh negara selepas merdeka.

Bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berusia 70 tahun itu berkata insiden yang menyebabkan kaki kanannya putus dalam pertempuran menentang komunis pada tahun 1977 itu turut menyebabkannya bergelar orang kelainan upaya tetapi ia tidak sedikit pun menimbulkan rasa kesal kerana memilih badan beruniform itu sebagai kerjayanya.

“Perjuangan yang sukar ketika itu demi memastikan generasi akan datang dapat hidup dengan aman dan selesa. Walaupun dah pencen 39 tahun lepas, namun peristiwa itu masih lagi saya ingat sehingga kini kerana ia memberi kesan yang mendalam pada diri dan keluarga.

“Tetapi tiada apa yang perlu dikesalkan kerana ia adalah takdir dan saya bangga kerana bersama-sama rakan yang lain berkorban nyawa bertarung dengan kezaliman komunis yang terus-terusan menentang tentera walaupun Malaysia pada ketika itu sudahpun merdeka,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman yang mula berkhidmat dalam Unit 15 Rejimen Askar Melayu Diraja di Kem Rasah, Negeri Sembilan pada tahun 70-an berkata justeru generasi muda di negara ini perlu menghargai pengorbanan para perajurit atas keamanan dan kemakmuran yang dinikmati pada hari ini.

Bekas anggota tentera dari Kor Polis Tentera Diraja Kem Terendak di sini, Aziz Mamat, 66, pula berkata kemajuan dan kemakmuran negara yang dikecapi hari ini perlu dipertahankan sekiranya tidak mahu melihat negara dijajah semula.

“Ramai anggota tentera telah terkorban, cedera anggota badan dan hilang upaya dalam pertempuran dengan pihak komunis, jadi, janganlah sia-siakan pengorbanan ini kerana ia tidak boleh dijual beli,” katanya yang telah berkhidmat selama 21 tahun dalam ATM sebelum bersara pada 1994.

Beliau yang kini tinggal di Lorong Pandan di sini berkata penghargaan dan pengiktirafan yang sewajarnya perlu diberikan kepada semua anggota tentera tidak kira sama ada tentera darat, udara atau laut kerana setiap daripada mereka telah menabur bakti tanpa mengira masa dan sanggup menggadai nyawa untuk negara.

Saklan Suaji, 70, yang pernah berkhidmat dalam Unit 373 Hantaran Udara pula berkata rakyat di negara ini diingatkan sentiasa hidup bersatu padu, mengetepikan ideologi politik dan menyelesaikan masalah yang berlaku dengan baik tanpa menimbulkan sebarang kekecohan.

Beliau yang mula berkhidmat dalam ATM pada 1969 berkata pengorbanan para perajurit sebelum ini akan sia-sia sekiranya  sikap bertolak-ansur, hormat-menghormati dan memahami antara satu sama lain tidak diamalkan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Rakyat di negara ini juga diharap sentiasa mengenang kembali sejarah lepas yang ‘meragut harmoni’ dan bagaimana susah payah pejuang dahulu membebaskan negara daripada penjajah dan komunis. Ambillah iktibar dan pertahankannya,” katanya dari Kampung Kemuning, Alor Gajah dekat sini.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa