Siakap Keli
Kredit: Mother & Baby/AyurHerbs

Tips Jaga Kesihatan Mental Lepas Bersalin, Semua Suami Isteri Wajib Ambil Tahu

Penjagaan emosi dan fizikal yang baik selepas bersalin amat penting kerana fasa tersebut memberi kesan mendalam kepada ibu yang baru melahirkan.

Gangguan mental setelah bersalin boleh mendatangkan mudarat kepada ibu, anak dan keluarga. Seorang ibu boleh bertindak mencederakan diri sendiri dan anaknya akibat kemurungan setelah bersalin.

Masalah ini berpunca dari pelbagai faktor antaranya tekanan menguruskan urusan keluarga dan kerjaya serta masalah rumahtangga.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, terdapat tiga kategori penyakit mental selepas bersalin iaitu;

  1. Gangguan emosi postpartum
  2. Kemurungan postpartum atau meroyan
  3. Psikosis postpartum, juga disebut meroyan.

Berikutan itu, KKM telah berkongsi enam tips menjaga kesihatan mental selepas bersalin iaitu dengan melakukan senaman dan aktiviti ringan.

Ibu yang baru melahirkan juga perlu meluangkan masa untuk diri sendiri bagi melakukan hobi yang digemari. Hal ini penting agar si ibu dapat mengurangkan tekanan dalam menguruskan bayi.

Gambar hiasan. (Kredit: Video Blocks)

Tugas menjaga bayi baru lahir pastinya mencabar bagi ibu yang baru pertama kali melahirkan, terutamanya jika bayi sering merengek pada waktu malam tanpa sebab. Oleh itu, tidur dan rehat yang cukup amat penting demi kesihatan mental si ibu.

Dalam situasi ini, bapa perlu memainkan tanggungjawab membantu isteri untuk menjaga bayi yang merengek pada waktu malam agar si ibu tidak keseorangan menghadapi tekanan.

Bukan itu sahaja, pemakanan yang sihat juga amat penting bagi si ibu supaya badan mendapat nutrisi yang cukup untuk merawat kembali tubuh badan. Akal yang sihat datang dari badan yang sihat.

Setiap ibu pasti ingin menjadi yang terbaik buat anaknya. Walaubagaimanapun, anda tidak perlu menekan diri untuk menjadi supermom. 

Jangan letak jangkaan yang terlalu tinggi pada diri sendiri sehingga terlalu menyalahkan diri sendiri jika terbuat kesilapan.

Anggaplah semua kesilapan sebagai proses pembelajaran untuk anda menjadi ibu yang lebih baik.

Akhir sekali, kongsilah masalah anda dengan pasangan dan keluarga. Tanpa komunikasi, segala bebanan di dalam kepala akan terus menekan diri tanpa orang lain memahami. Oleh itu, komunikasi amat penting dalam fasa membaik pulih diri.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.