Siakap Keli
Kredit: Bernama

“Nora Darling, I Love You, Mum Is Here” Rakaman Suara Ibu Remaja Istimewa Hilang, Nora Anne ‘Gema’ Di Hutan

NILAI – “Nora darling, Nora I love you…mum is here”.

Itu antara ayat ibu kepada remaja istimewa Ireland yang hilang, Nora Anne Quoirin, 15 yang dirakam ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja itu semalam.

Rakaman suara Meabh Jaseprine Quoirin digunakan dalam operasi dan dimainkan pada alat pembesar suara dan telefon anggota penyelamat dalam usaha mengesan remaja berkenaan di enam zon pencarian misi tersebut.

Misi SAR yang diketuai oleh unit Senoi Praaq kini melibatkan lebih 200 anggota serta Orang Asli yang mengetahui selok belok kawasan itu.

Pada sidang akhbar petang semalam, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, suara ibu remaja istimewa itu dirakam pagi semalam yang mana beliau merupakan individu paling rapat dengan Nora Anne.

Ketika ditanya samada misi tersebut melibatkan ibu bapa remaja berkenaan, Mohamad berkata pihaknya tidak menggalakkan penyertaan ibu bapa Nora dalam pencarian atas faktor keselamatan.

Hari ini merupakan hari keenam misi mencari dan menyelamat sejak dia dilapor hilang pada Ahad lepas.

Mangsa yang mengalami masalah pembelajaran itu disedari tiada di bilik oleh keluarganya pada pukul 8.00 pagi Ahad lalu.

Mereka sekeluarga tiba dari London pada Sabtu lepas untuk percutian dua minggu mereka di negara ini.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.