Siakap Keli
Gambar : Bernama

Polis Masih Siasat Individu Di Sebalik Akaun Facebook Hina Nabi Muhammad

George Town : Polis masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti identiti sebenar individu yang mengunakan nama Wendy Loong di laman sosial, Facebook yang menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk T. Narenasegaran hari ini berkata setakat ini polis masih belum dapat mengesan pemilik akaun Facebook itu yang dipercayai telah menggunakan akaun palsu dan memuat naik status berbaur penghinaan itu.

“Polis masih menjalankan siasatan dan tidak berhenti (menyiasat), kami sedang cuba mengenal pasti identiti sebenar pemiliknya dan polis mengalami sedikit kesukaran kerana sekarang ini ada pelbagai teknologi yang orang boleh buat bagi mengelak akaun tersebut dikesan,” katanya kepada sumber di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas program Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Negeri Pulau Pinang di Gurney Plaza, di sini.

Narenasegaran berkata masyarakat juga seharusnya bertanggungjawab dan menjaga sensitiviti agama serta kaum dan tidak sewenang-wenangnya memuat naik status atau kenyataan yang boleh mengganggu gugat keharmonian.

Katanya tindakan pihak tidak bertanggungjawab memuat naik status yang menghina agama boleh menimbulkan suasana tegang dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Ahad lepas, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata individu yang menggunakan nama Wendy Loong di dalam media sosial Facebook yang menghina Nabi Muhammad dan Agama Islam telah menggunakan akaun Facebook palsu.

Berikutan tindakan memuat naik status itu, lebih 400 laporan polis telah dibuat pelbagai pihak di seluruh negara untuk mendesak tindakan tegas diambil terhadap individu berkenaan.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.