Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Tiada Cubaan Culik Pelajar Di Dungun – Polis

Dungun : Tiada sebarang kejadian cubaan culik oleh seorang wanita di sekolah rendah di sini seperti yang ditularkan di media sosial, kata Ketua Polis Daerah Dungun Supt Baharudin Abdullah.

Sebaliknya, beliau berkata wanita itu hanya menegur murid berkenaan dan tidak berlaku kejadian murid itu ditarik keluar dari kawasan sekolah.

Baharudin berkata hasil siasatan juga mendapati wanita itu mengalami masalah tekanan perasaan selepas bercerai tiga tahun lalu. Wanita itu juga mendakwa tiga anak berusia tiga hingga 10 tahun berada di bawah jagaan bekas suami.

”Wanita itu menyatakan dia memasuki kawasan sekolah untuk menggunakan tandas dan kita percaya dia menegur murid berkenaan kerana teringatkan anak-anaknya,” katanya ketika dihubungi sumber.

Katanya, wanita itu ditahan ketika menunggang motosikal di kawasan Rusila, Marang pada kira-kira 3 petang tadi oleh anggota polis yang membuat rondaan.

Ia susulan laporan polis yang dibuat ibu kepada murid terbabit petang semalam yang mendakwa anaknya telah diheret keluar dari kawasan sekolah tetapi diselamatkan pengawal keselamatan.

”Kita harap orang ramai tidak lagi risau dan mendapat gambaran sebenar kejadian,” kata Baharudin sambil menambah polis masih menjalankan siasatan lanjut terhadap wanita berkenaan.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.