Siakap Keli
Kredit: Bernama

“Sedap Mak Masak” Nenek Terbayang Telatah Dua Cucu Sebelum Kemalangan

MELAKA, 10 Ogos (Bernama) – Nenek kepada Alissa Ahmad, 15 dan Alia Ahmad, 17 yang maut dalam kemalangan membunuh enam nyawa di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (Lebuh AMJ) menghala Simpang Ampat Alor Gajah malam tadi menyifatkan kelakuan cucunya ketika makan tengah hari semalam sebagai pelik dari kebiasaan.

Zaleha Nikmat, 62 berkata, Alissa yang memanggilnya dengan gelaran ‘mak’ dikatakan memuji lauk asam pedas ikan tongkol yang dimasaknya lebih daripada biasa.

“Ketika waktu makan tengah hari Alissa kata kepada saya, mak sedap lauk mak masak hari ini, sambil menjilat jari-jarinya, tapi saya cakap macam biasa saja dan semalam dia juga nampak sangat lain.

“Biasanya saya hanya membenarkan bapa mereka meluangkan masa bersama setiap kali cuti sekolah, tetapi kali ini rasa begitu berat hati,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka di sini hari ini.

Menurutnya, dia turut berasa berat hati untuk mengizinkan bekas menantunya mengambil kedua-dua cucunya untuk pulang menyambut Aidiladha di Perak pada petang semalam di rumah mereka di Taman Kota Panorama, Yong Peng.

Katanya lagi, dia sekeluarga amat terkejut apabila dimaklumkan ibu mangsa, Rosziati Muktar, 36 pada kira-kira jam 10 malam tentang kemalangan tersebut.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Rashidi Muktar, 31 berkata, dia menganggap dua beradik itu seperti anaknya sendiri dan tidak dapat melupakan kenangan bersama dua beradik itu kerana mereka tinggal bersama sejak kira-kira lapan tahun lalu bersama seorang lagi adik lelaki mereka, Arshad, 14.

“Tiga beradik itu tinggal bersama kami sejak ibu bapa mereka berpisah dan hubungan kami menjadi sangat rapat. Saya tidak dapat membayangkan ketiadaan mereka selepas ini dan sehingga kini saya masih teringat gelak tawa mereka,” katanya.

Kira-kira 9.40 malam semalam, enam mangsa maut dalam nahas termasuk bapa mereka, Azhar Ahmad, 57, ibu saudara, Habibah, 60-an dan ibu tiri mereka, Halimaton, 24 serta pemandu Mitsubishi Triton berusia 51 tahun.

Sumber: Bernama

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.